Sekolah perpaduan tidak perlu diwujudkan – aktivis

 

Aktivis pendidikan menolak idea penubuhan sekolah perpaduan untuk menarik rakyat pelbagai kaum belajar bersama, dengan berkata, ia seperti “mencipta semula roda”.

Mengulas cadangan Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin, jurucakap Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) dan Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (MAGPIE) berkata, kerajaan hanya perlu meningkatkan kualiti sekolah kebangsaan bagi menggalakkan ibu bapa menghantar anak mereka ke sana.

Bung baru-baru ini berkata, perpaduan sukar dicapai kerana wujud banyak sistem sekolah yang berbeza di negara ini. Beliau menyebut secara khusus kewujudan sekolah vernakular di samping sekolah kebangsaan.

Isu sekolah vernakular telah lama diperdebatkan, dengan pengkritik sering mendakwa ia menjadi penghalang kepada integrasi dan keharmonian kaum.

Pengasas PAGE Noor Azimah Abdul Rahim berkata kepada FMT, ramai ibu bapa berbangsa Melayu dan India memilih untuk menghantar anak ke sekolah Cina kerana reputasinya dalam standard disiplin yang baik dan pendidikan berkualiti.

“Pendidikan berkualiti menjadi keutamaan bagi kebanyakan ibu bapa,” katanya.

“Jika kerajaan tutup sekolah vernakular esok, akan ada tindak balas yang hebat.”

Beliau berkata, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah kebangsaan sehingga ia dapat meyakinkan ibu bapa ia lebih baik daripada sekolah vernakular.

Pengerusi MAGPIE Mak Chee Kin berkata, ibu bapa akan sentiasa berusaha menyediakan pendidikan terbaik bagi anak-anak mereka.

Beliau percaya, katanya, mereka yang menuduh sekolah vernakular menyebabkan perpecahan kaum berbuat demikian demi kepentingan politik.

fmt

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker