Pendakwaan tersalah buat rumusan – Peguam

Zahid Hamidi

 

Pendakwaan melakukan kesilapan apabila merumuskan bahawa kemasukan wang sumbangan ke dalam akaun pemegang amanah Yayasan Akalbudi yang diasaskan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah membabitkan aktiviti haram, Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik berhujah, adalah jelas bahawa penggurup wang, Omar Ali Abdullah yang didakwa mendapat arahan daripada Ahmad Zahid untuk menukarkan RM5 juta kepada cek dan diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co iaitu pemegang amanah yayasan, tidak melakukan kesalahan perbankan.

Hisyam yang mewakili Ahmad Zahid, berkata, malah keterangan Omar bahawa wang itu datangnya daripada Yayasan Al Bukhary, tidak pernah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, tindakan pendakwaan yang bersandarkan kepada peruntukan Seksyen 4(3) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) dan merumuskan bahawa terdapat aktiviti haram, juga tidak mempunyai sebarang asas.

“Adalah jelas bahawa saksi ke-81 (Omar) tidak melakukan kesalahan mengikut undang-undang perbankan…pihak pendakwaan dalam hujahan mereka tersalah anggap dalam beberapa perkara membabitkan 27 tuduhan pengubahan wang haram ke atas tertuduh.

“Dalam hal ini, tiada sebarang keterangan langsung mengenai sumber dana itu dan pendakwaan turut tersalah anggapan apabila tiada siasatan dijalankan berhubung perkara berkenaan.

“Untuk memenuhi peruntukan dalam pertuduhan aktiviti pengubahan wang haram, pendakwaan mesti mengenalpasti apakah aktiviti haram yang dimaksudkan dan mengesahkan sumbernya, oleh itu kami menyatakan pertuduhan ini tidak dapat dibuktikan,” katanya.

Hisyam memberikan keterangan di akhir kes pendakwaan dalam kes Ahmad Zahid, 69, yang berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Sementara itu, Hisyam berkata, pendakwaan turut mengakui mengenai sumbangan yang diberikan oleh Pengarah Bukan Eksekutif MyEG Services Sdn Bhd, Mohd Jimmy Wong Abdullah kepada yayasan berkenaan.

Mohd Jimmy dalam keterangan sebelum ini, berkata beliau mendermakan lebih RM9 juta kepada Yayasan Akalbudi atas kehendaknya sendiri bagi tujuan kebajikan dan keagamaan serta ia tidak mempunyai kaitan dengan syarikatnya, MyEG Services.

Sehubungan itu, Hisyam berkata oleh kerana pendakwaan gagal menunjukkan proses pengubahan wang haram itu berlaku sepertimana elemen dalam tuduhan, maka kes ke atas anak guamnya tidak boleh dipertahankan.

BHonline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker