Messi tunjuk trofi Ballon d’Or

Lionel Messi menunjukkan trofi Ballon d’Or terbaharunya kepada penyokong Paris Saint-Germain namun pemain Argentina itu melalui malam yang sunyi apabila pendahulu Ligue 1 itu seri 0-0 berdepan Nice di Parc des Princes.

Pemain berusia 34 tahun itu diragui akan bermain sebelum perlawanan kerana masalah perut selepas dinamakan pemain terbaik dunia buat kali ketujuh dalam majlis di Paris Isnin lalu.

Bagaimanapun dia memulakan saingan bersama PSG yang kehilangan Neymar yang dijangka akan diketepikan sehingga lapan minggu kerana kecederaan pergelangan kaki, masalah terbaharu dialami pemain Brazil itu di ibu kota Perancis.

Angel Di Maria dan Kylian Mbappe hampir menemui gawang selepas rehat buat PSG ketika sepakan pemain Nice, Kasper Dolberg terkena palang pada babak kedua.

“Kami mencipta peluang dan saya rasakan kami berhak mendapat tiga mata,” kata jurulatih PSG, Mauricio Pochettino.

“Kami meningkat sedikit demi sedikit. Kami mendahului Ligue 1 dan mara dalam Liga Juara-Juara.”

Messi hanya meledak satu gol dalam Ligue 1 sejak berhijrah ke Paris pada Ogos dari Barcelona sambil menjaringkan tiga gol dalam Liga Juara-Juara.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button