Permohonan Najib kemuka bukti baharu didengar 7 Dis

 

Permohonan Najib Razak untuk membenarkan bukti baharu dikemukakan dalam rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta kerana menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd, akan didengar sehari sebelum Mahkamah Rayuan menyampaikan keputusannya.

Semakan terhadap jadual kes mahkamah hari ini menunjukkan pendengaran itu ditetapkan pada 7 Dis.

Perkara itu turut disahkan peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram ketika dihubungi Bernama hari ini.



Difailkan pada 1 Dis, Najib memohon Mahkamah Rayuan membenarkan dan mengarahkan keterangan viva voce (secara lisan) diambil daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussein, yang juga saksi pendakwaan ke-57 dalam kes itu serta mana-mana saksi lain berhubung kes itu.

Dalam afidavit yang difailkan bagi menyokong permohonannya, Najib, 68, berkata permohonan itu dibuatnya tanpa berlengah-lengah sebaik sahaja dimaklumkan serta mengumpul semua maklumat dan dokumen diperlukan.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa maklumat sedemikian tidak ada atau tidak diperoleh semasa perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi dan semasa Mahkamah Rayuan mendengar rayuan kes berkenaan, oleh itu beliau memohon Mahkamah Rayuan memutuskan permohonan itu sebelum menyampaikan keputusannya.

Najib berkata, beliau membuat permohonan itu berikutan kenyataan akhbar SPRM bertarikh 19 Nov lepas mengenai usaha mendapatkan semula aset dana 1MDB, antaranya dari Singapura, yang menyatakan kerajaan Singapura telah memulangkan USD15.4 juta kepada Malaysia berkaitan akaun Cutting-Edge Industries Ltd (CEIL) yang dimiliki Tawfiq Ayman, suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Zeti Akhtar Aziz.

Katanya, pada Oktober dan Disember 2020, artikel diterbitkan portal berita dalam talian yang melaporkan Zeti dan keluarganya menerima berjuta-juta dolar daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, termasuk dana dikaitkan dengan 1MDB.

Beliau mendakwa peguamnya pada 20 Jan 2021 menulis surat kepada Monetary Authority Singapore (MAS) dan CAD untuk mendapatkan pengesahan serta dokumentasi berkaitan akaun CEIL, Iron Rhapsody Ltd, Jho Low serta Nik Faisal Ariff Kamil (bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC) dan prosiding undang-undang yang diambil terhadap penyitaan harta milik mereka.

Pada 24 Mac lalu, Najib berkata, peguamnya menerima e-mel daripada pegawai Jabatan Hal Ehwal Komersial yang menolak permohonan peguamnya dan beliau gagal mendapatkan bukti yang kini telah disahkan secara boleh dipercayai melalui kenyataan akhbar SPRM bertarikh 19 Nov lalu.

Pada 23 Nov, Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Dis untuk keputusan rayuan Najib dan pada hari sama, beliau memohon untuk menangguhkan tarikh keputusan rayuannya itu kerana akan berada di Singapura sehingga 5 Dis.

Bagaimanapun, pada hari berikutnya, Mahkamah Rayuan menolak permohonan itu.

fmt

SPRM perlu jawap isu Zeti di Mahkamah

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker