Pesara Tentera maut dipukul

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Kamarul Azran Wan Yusof.

 

Seorang pesara tentera berusia 73 tahun maut dipukul dan dicederakan oleh anak lelakinya dalam kejadian di Kampung Jenderam Hulu di Sepang, Rabu minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata suspek yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) berusia 48 tahun itu, bertindak memukul dan mencederakan bapanya menggunakan pisau pemotong kek.

“Keterangan awal yang diterima oleh isteri mangsa, mendapati anaknya mengamuk kerana sudah lama tidak memakan ubat yang dibekalkan oleh klinik psikiatrik Hospital Banting kepadanya dan disebabkan itu tingkah lakunya sukar untuk dikawal.

“Dalam kejadian ini suspek cuba mencederakan saksi (isteri mangsa) namun sempat melarikan diri. Suspek yang masih berada di dalam rumah terus bertindak menyerang mangsa.

“Apabila saksi masuk ke dalam rumah, beliau mendapati mangsa sudah terbaring di lantai dalam keadaan berlumuran darah,” katanya dalam sidang media Ops Roda, di Balai Polis Cyberjaya, hari ini.

Wan Kamarul berkata, pihak polis tiba di lokasi kejadian pada jam 7 malam dan menemui mangsa berada di ruang tamu dengan kesan calar di bahagian dada, tangan kiri dan kanan, dipercayai selepas dicederakan oleh suspek ketika kejadian berkenaan.

“Mangsa juga menghidap penyakit anemia, sawan dan tidak bergerak aktif kerana sakit tua,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Kamarul berkata, suspek juga sudah ditahan pada 1 Disember lalu dan kini sedang menjalani tahanan reman sehingga esok.

“Polis juga berjaya menjumpai senjata yang digunakan oleh suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 kerana membunuh,” katanya.

BHonline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker