Waran tangkap untuk Najib akan dikeluarkan

 

Perbicaraan kes rayuan SRC International akan diteruskan pada 12.30 tengah hari secara dalam talian atau waran tangkap akan dikeluarkan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta-merta, kata Mahkamah Rayuan hari ini.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang mengetuai panel tiga hakim bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, juga berkata keputusan rayuan Najib terhadap sabitan kesalahannya juga akan diteruskan esok.

Malam tadi, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengemukakan permohonan untuk menangguhkan perbicaraan bagi kes SRC International selepas salah seorang peguamnya didapati positif COVID-19.

Pasukan pembelaan Najib sebelum ini memohon penangguhan pendengaran mereka untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes rayuan SRC International Sdn Bhd yang dijadualkan didengar pada Selasa.

Ini susulan salah seorang pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri itu dilaporkan dijangkiti COVID-19.

Peguam utama dalam pasukan itu, Muhammad Shafee memaklumkan mahkamah melalui surat, yang didedahkan kepada media lewat malam tadi, bahawa salah seorang peguamnya didapati positif COVID-19 manakala yang lain telah menjadi kontak rapat.

Mahkamah Rayuan sepatutnya mendengar permohonan yang difailkan oleh Najib pada 1 Dis lalu di mana Ahli Parlimen Pekan itu meminta Mahkamah Rayuan membenarkan dan mengarahkan bukti viva voce (bukti lisan) Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki antara lain untuk diambil bagi tujuan rayuan Najib.

Mahkamah rayuan juga bersedia untuk menyampaikan keputusan dalam rayuan Najib dalam kes SRC International pada Rabu.

Dalam suratnya, Muhammad Shafee meminta mahkamah mengosongkan perbicaraan untuk kedua-dua prosiding hari ini dan esok kerana peguam, yang merupakan anaknya, Muhammad Farhan, telah disahkan positif COVID-19 pada 6 Dis.

Awani

Leave a Reply