Leipzig tamatkan rentak Real Madrid

LEIPZIG, Jerman: RB Leipzig mencipta kemenangan 3-2 mengatasi Real Madrid dalam Liga Juara-Juara yang memberikan kekalahan pertama musim ini buat penyandang gelaran itu menjelang pertemuan penting berdepan Shakhtar Donetsk minggu depan.

Kelab dari Jerman itu akan layak ke kelompok 16 terakhir jika seri menentang pasukan dari Ukraine itu pada aksi terakhir kumpulan, 2 November ini dan kemenangan bermakna mereka masih boleh mengetepikan skuad kendalian Carlo Ancelotti dari persada kumpulan.

Juara dengan rekod 14 kali itu sudah mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya tetapi gagal menyerlah di Red Bull Arena menentang pasukan dipimpin Marco Rose dan tewas kali pertama sepanjang musim ini selepas 17 perlawanan.



Josko Gvardiol menanduk masuk dari jarak dekat pada minit ke-13 dan Christopher Nkunku meledak gol kedua lima minit kemudian dengan Vinicius Junior kembali merapatkan kedudukan sebelum tamat babak pertama.

Timo Werner mencetak gol kemenangan dari jarak dekat pada minit ke-81 dengan Rodrygo kembali merapatkan jaringan hasil sepakan penalti buat Madrid pada penghujung permainan.

Leipzig kini sembilan mata, satu di belakang pendahulu Kumpulan F, Madrid.

“Kami ke sana dan tidak bermain baik, tidak cukup tenaga atau agresif dan anda perlu membayar harga yang mahal,” kata penjaga gol Madrid, Thibaut Courtois kepada Movistar.



“Jurulatih memberi amaran kepada kami tetapi kami masih bermain buruk. Mereka boleh menjaringkan dua gol hasil sepakan penjuru. Kami melakukan banyak hantaran teruk, kawalan buruk, tidak menang banyak bola, kurang intensiti. Kami tidak melalui perlawanan yang bagus.

“Hari yang teruk boleh berlaku, ada terlalu banyak perlawanan dalam tempoh yang pendek, tapi anda tidak boleh kurang intensiti. Mereka pasukan yang bahaya apabila melakukan serangan balas pantas.”

Pelawat hadir ke perlawanan itu tanpa pemenang Ballon d’Or, Karim Benzema selain Luka Modric dan Fede Valverde bagi pertemuan di Jerman itu.

Ancelotti juga merehatkan Dani Carvajal dan David Alaba.



AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button