Pemuda UMNO desak penjelasan mengenai DNB

 

1. Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memandang serius jawaban Parlimen Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia yang mendakwa Menteri Kewangan Tengku Zafrul yang melantik sebuah syarikat bernama DNB yang tiada pengalaman dan infrastruktur untuk mengendalikan teknologi 5G dengan kos mencecah RM11 billion.

2. Menurut Timbalan Menteri yang menjawab di Parlimen kelmarin pelantikan itu juga dibuat secara tiba-tiba tanpa perbincangan terlebih dahulu dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).
“Apabila kita dipanggil oleh MOF untuk memberi kelulusan kepada DNB, kita tak bincang pun, tiba-tiba MOF panggil, kena beri kepada DNB”



3. Dua persoalan besar yang tercetus ialah:

(i) Pertama, bagaimana proses perlantikan sebuah syarikat yang tidak berpengalaman boleh dibuat tanpa perbincangan dengan pihak Kementerian yang bertanggungjawab memastikan kesempurnaan pembangunan teknologi 5G?

(ii) Kedua, bagaimanakah proses penilaian dan tender dibuat apabila melibatkan peruntukan sebesar RM11 billion?

4. Dikhabarkan kos pada mulanya adalah RM7.5 billion sebelum Menteri Kewangan mengatakan peningkatan kos meningkat kepada RM11 billion. CEO DBM pula dilaporkan mendakwa kos adalah RM16.5 billion dan boleh meningkat sehingga RM20 billion.



5. Dengan peruntukan sebesar itu dan pastinya juga melibatkan wang rakyat, maka sudah tentu jawapan tuntas wajib dikeluarkan segera oleh Menteri Kewangan.

6. Ini bagi mengelakkan sebarang kemungkinan berlakunya apa jua bentuk penyelewengan dan ketirisan dalam menyediakan kemudahan teknologi 5G kepada rakyat dengan peruntukan yang besar.

7. Rakyat hari ini mendambakan segala projek yang diluluskan demi kepentingan rakyat WAJIB dibuat mengikut prinsip ketelusan dan tadbir urus yang baik, bebas daripada sebarang bentuk penyimpangan dan penyelewengan, demi memastikan manfaatnya bukan sahaja kembali kepada rakyat tetapi tidak sesekali mempersiakan setiap sen wang rakyat yang dibelanjakan.

 



Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
10 Disember 2021

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button