Pakar Bedah Bangladesh Akan Bedah Pisahkan Kanak-Kanak Kembar Siam

DHAKA: Pakar Bedah dari Bangladesh akan melakukan pembedahan memisahkan kanak-kanak kembar siam, Labiba dan Lamisa, 2, dalam prosedur yang telah lama tertangguh akibat wabak pandemik COVID-19.

Labiba dan Lamisa, dilahirkan bercantum di bahagian belakang dan berkongsi tulang belakang, alat kelamin dan sebahagian daripada saluran usus mereka.

Sebelum ini, doktor sudah memisahkan sebahagian dubur mereka sembilan hari selepas kelahiran, tetapi pembedahan susulan ditangguhkan tahun lalu selepas negara itu merekodkan kes pertama COVID-19.

Ibu kanak-kanak itu, Monufa Begum, 20, berkata bayinya tidak boleh duduk atau baring dengan betul bersama-sama.

“Sangat sukar untuk mendiamkan mereka dan saya serta suami hampir tidak tidur sejak mereka lahir,” katanya.

Bapa kanak-kanak itu, Lal Mia, 22, berkata kewangan dan emosi menjadi antara cabaran besar buat mereka sekeluarga.

“Saya sangat bimbang tetapi pada masa yang sama teruja. Seronok melihat anak perempuan saya berjalan dan duduk berasingan.

“Tetapi sukar bagi ibu bapa untuk melihat bayi mereka berada di atas meja pembedahan,” katanya.

Hospital Kolej Perubatan Dhaka akan menanggung kos pembedahan dan doktor berharap mereka selamat selepas berjaya memisahkan dua kembar siam lain pada 2017 dan 2018.

“Insya-Allah, kami akan berjaya,” kata Ashraful Haque, ketua pakar bedah pediatrik hospital itu.

Sepasukan 35 doktor akan mengawasi pembedahan dijangka selama 10 jam untuk memisahkan pasangan itu selepas dua bulan ujian untuk menentukan sama ada prosedur itu boleh atau tidak.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker