Harga barang keperluan dijangka stabil Januari depan
Harga barangan pengguna mula menunjukkan penurunan dan dijangka stabil pada pertengahan suku pertama tahun depan iaitu penghujung Januari atau Februari ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata kestabilan harga itu akan menerima kesan positif daripada pembukaan dan pemulihan ekonomi dunia pada 2022.
Katanya, Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) dilihat memberi impak positif apabila barangan keperluan harian seperti ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras serta barangan proses dijual dengan harga sehingga 20 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.
“Antara barangan yang mendapat permintaan tinggi dan habis dijual adalah ayam, telur, ikan dan minyak masak selain barangan keperluan harian yang lain seperti sayur-sayuran, beras, gula dan tepung,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sejak awal Disember lalu, kerajaan mengumumkan pelbagai usaha dan tindakan proaktif dalam menangani isu kenaikan harga barangan keperluan.
Beberapa tindakan serta inisiatif dilaksanakan KPDNHEP termasuk pelaksanaan Penguatkuasaan Ops Menu antara 6 November hingga 31 Disember ini, Ops Pasar antara 27 November hingga Ahad lalu, Inisiatif Membantu Rakyat, Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) bermula Disember hingga Mac 2022), Inisiatif Kawalan Harga, dan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) bermula 7 hingga 31 Disember ini.
Beliau berkata, KPDNHEP menjangkakan langkah-langkah itu bakal memberi kesan kepada kestabilan harga barangan keperluan pasaran domestik.
Alexander berkata, sehingga hari ini, sambutan yang diterima daripada pengguna bagi program itu adalah menggalakkan iaitu seramai 28,985 pengunjung dan hasil jualan sebanyak RM423,844.06.
Menurutnya, menerusi maklum balas yang diterima melalui operasi pemantauan harga yang dijalankan oleh Pegawai Pemantau Harga di 72 pejabat cawangan KPDNHEP seluruh negara, kementerian mendapati harga barangan keperluan sudah mula menunjukkan trend penurunan.
Katanya, sebagai contoh, harga purata ayam bersih standard turun daripada RM9.21 sekilogram kepada RM9.04 sekilogram (-1.8 peratus), telur ayam gred B (30 biji) turun dari RM12.67 kepada RM12.62 (-0.3 peratus) dan sayur-sayuran turun sebanyak 4.26 peratus hingga 17.47 peratus hasil daripada pematuhan premis-premis terhadap SHMKM.
“Dalam usaha untuk menyampaikan maklumat yang lebih tepat dan terkini kementerian melaksanakan hebahan maklumat berkaitan harga barangan keperluan melalui Facebook kementerian, Twitter, Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) pada setiap Jumaat, Radio Televisyen Malaysia (RTM) setiap hari di Berita Perdana 8 malam dan Aplikasi Price Catcher.”