MN di peringkat nasional sukar dibentuk, ada negeri menolak

 

Seorang penganalisis berkata, mustahil untuk Muafakat Nasional (MN) dibentuk di peringkat nasional, jika masih ada negeri yang menolak pembentukan gabungan itu bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15.

Azmi Hassan berkata, walaupun Umno seperti di Terengganu dan beberapa bahagian di negeri lain yakin mampu menawan kembali sesebuah negeri serta kawasan tanpa PAS, pemimpin di peringkat negeri itu perlu bertolak ansur dengan menghormati keputusan di peringkat nasional.

 



“Jika MN nak dihidupkan, maka ia perlu berlaku di peringkat nasional, tak boleh MN tak wujud di Terengganu, tetapi peringkat nasional wujud.

“Perlu ada tolak ansur, Umno dan PAS perlu lihat jauh ke hadapan,” katanya selepas Umno Terengganu menyifatkan MN di negeri itu tidak wujud.

Ketua Pemuda Umno Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera dilaporkan berkata, parti itu bersedia menghadapi PRU15 bersendirian tanpa PAS.

Ketua Umno Bahagian Pulai di Johor, Nur Jazlan Mohamed pula dilaporkan berkata, bahagian itu akan membawa usul supaya Umno memutuskan hubungan dengan PAS dan seterusnya membubarkan MN pada mesyuaratnya 18 Dis ini.

Katanya, usul itu dibangkitkan selepas mengambil kira tindak-tanduk PAS kebelakangan ini, khasnya ketika pilihan raya negeri Melaka yang disifatkannya tidak jujur, selain terbukti parti Islam itu tiada kekuatan kerana semua calonnya tewas di Melaka.

Seorang lagi penganalisis, Ahmad Atory Hussain berkata, Umno dan PAS kini dalam dilema untuk menyelesaikan isu tiada kerjasama MN di Terengganu.

Jika situasi itu berterusan sehingga PRU15, katanya, terpulang kepada rakyat untuk memilih parti mana yang akan menang di kawasan Umno dan PAS bertembung.

“Terpulang kepada rakyat tentukan sama ada PAS atau Umno. PH pula memang tak dapat tempat di Terengganu.”

Pada 25 Nov lalu, PAS dilaporkan menolak gagasan MN, jika ia dibelenggu pembabitan hanya Umno dan parti Islam itu.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata, berdasarkan piagam MN, dua parti itu sedia menerima parti lain, termasuk Bersatu dan badan bukan kerajaan (NGO).

fmt

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker