Perlu kajian untuk sahkan muntah paus

 

Objek dipercayai muntah paus yang ditemui seorang wanita ketika memancing berhampiran Jeti LKIM, Marang perlu dibuat kajian bagi mengesahkan ketulenannya.

Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mama, berkata kajian itu penting bagi memastikan objek seberat lima kilogram itu adalah asli atau gumpulan sisa lain yang naik ke daratan dibawa ombak.

Katanya, penemuan objek yang ditemui Aida Zurina Long, 41, yang tinggal di Kemasik Kemaman itu mungkin pernah berlaku sebelum ini tetapi jarang dilaporkan kepada media.

“Berdasarkan sumber media, penemuan muntah ikan paus ini pernah dilaporkan dijumpai oleh nelayan di Thailand dan Indonesia serta dijual pada harga jutaan ringgit.

“Setakat ini saya sendiri belum pernah melihat objek itu secara dekat dan kajian lanjut diperlukan bagi menentukan keaslian dan kualiti muntah paus ini “katanya.

Menurutnya, pihaknya akan menghantar pegawai untuk menyiasat perkara itu kerana bimbang objek yang ditemui itu lain disangkakan atau ia sisa gumpalan benda berbahaya dan sebagainya.

“Oleh yang demikian, kita menasihati mana-mana pihak yang menemui objek seperti itu melaporkan kepada pihak kami supaya kita dapat membuat kajian yang lebih terperinci dan mendalam, “katanya.

Ruzaidi berkata, orang ramai diminta melaporkan sebarang penemuan kepada Pejabat Perikanan Negeri Terengganu sekiranya terjumpa objek yang menyerupai muntah paus.

Katanya, ini kerana ikan paus adalah sebahagian bahan daripada spesies marin terancam yang dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985, Peraturan-peraturan spesies ikan terancam 1999.

“Maklumat daripada orang ramai dapat membantu Jabatan Perikanan Malaysia dan menjadi sebahagian agen penyebar maklumat yang tepat kepada masyarakat umum, “katanya.

BH

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker