Wanita maut, tiga anak cedera dalam kemalangan

 

Seorang wanita maut, manakala tiga anaknya cedera apabila kereta dinaiki mereka terbabas di Kilometer (KM) 209 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di Taiping dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, kejadian menyebabkan pemandunya, Norfatiha Mohd Zaini, 28, yang juga anggota tentera di Kor Perkhidmatan Diraja, di sini meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Dua anak Norfatiha iaitu Nur Jannatul Husna Mohd Zulhakimi, 6, dan Muhammad Iman Rizky, 3, cedera manakala Nur Jannatul Sumayyah, 1, parah dan dirawat di Hospital Taiping,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kenderaan dari arah Sungai Petani ke Ipoh itu dipercayai terbabas lalu melanggar pembahagi jalan dan kemalangan sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, sepasukan pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 11.19 malam.

“Setibanya di lokasi, terdapat sebuah Proton Saga FLX terbabas di pembahagi jalan.

“Kemalangan mengakibatkan seorang wanita maut di tempat kejadian manakala tiga kanak-kanak cedera,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya mengeluarkan wanita dari bahagian tempat pemandu dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, manakala kesemua kanak-kanak dikeluarkan dari kenderaan itu oleh orang awam.

metro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker