ATB2 patah cubaan 42 PATI masuk Sabah

 

Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) mematahkan cubaan 42 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyusup masuk ke negara ini melalui kawasan perairan Bangau-Bangau, di sini, semalam.

Ia susulan maklumat dan kerjasama bersepadu tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dan Tentera Darat Malaysia (TDM) yang melaksanakan rondaan Op Benteng Bersama, antara jam 10 pagi hingga 12.00 tengah hari.

Komander ATB 2, Brigedier Jeneral Abdul Karim Ahmad, berkata pesawat jenis C-130H milik TUDM ketika melaksanakan rondaan dan tinjauan udara telah mengesan tiga bot dari arah Pulau Sitangkai, Filipina menuju ke kawasan perairan Bangau-Bangau, Semporna.

Beliau berkata, maklumat itu kemudiannya disalurkan kepada Malaysia Maritime Command Centre (MCC) berpusat di MK ATB 2 untuk tindakan lanjut.

“Kapal Diraja (KD) BAUNG yang berada berhampiran lokasi kejadian diarahkan untuk memantau ketiga-tiga bot berkenaan sehingga pasukan bot pemintas ‘Quick Response Force’ tiba di lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, sebuah bot berjaya meloloskan diri apabila menyedari kehadiran Tim QRF manakala dua lagi berjaya ditahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.

Abdul Karim berkata, pemeriksaan awal mendapati kedua-dua bot terbabit membawa 42 PATI tanpa dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah dan disyaki cuba menyusup masuk ke negara ini.

Menurutnya, kesemua mereka terdiri daripada 14 lelaki dewasa, 10 wanita, 10 kanak-kanak lelaki dan lapan kanak-kanak perempuan.

“Pemeriksaan lanjut ke atas bot terbabit juga hanya menemukan barangan persendirian dan peribadi selain tiada penemuan barang merbahaya sebelum kesemua PATI berkenaan diusir pulang,” katanya.

BH

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker