Gerhana matahari hibrid, fenomena unik sekali setiap 10 tahun

UMAT Islam kini berada di penghujung Ramadan dan Aidilfitri akan diumumkan malam ini selepas cerapan anak bulan dilakukan petang ini di beberapa lokasi cerapan di Malaysia.

Pada hari ini juga, umat Islam akan menyaksikan fenomena alam iaitu gerhana matahari hibrid mulai jam 11 pagi hingga 1:30 petang dengan litupan 2.0 peratus di bahagian utara Semenanjung dan litupan semakin bertambah sehingga 43 peratus di Sabah kerana bayang-bayang penumbra bulan melalui Malaysia pada waktu itu.

Gerhana matahari hibrid ini berlaku anggaran sekali setiap dekad yang mana kedua-dua jarak bulan dan matahari dengan bumi perlu berada pada kedudukan spesifik bagi membolehkan ia berlaku dengan beberapa kriteria.

Matahari, bulan dan bumi bergerak dengan kelajuan tinggi dalam orbit, sedangkan pemerhati berada di bumi melihat gerakan bulan dan matahari perlahan dan ia memberi kesempatan kepada kita untuk menyaksikannya.



Bumi beredar mengelilingi matahari pada kelajuan 107,200 kilometer sejam (km/j) dan pada masa sama berputar dengan kelajuan 1,670 km/jam. Namun begitu ada suatu ketika bumi berputar lebih pantas pada 29 Jun 2022 dengan melengkapkan putaran penuh dalam masa 1.59 milisaat kurang daripada putaran piawaian 24 jam.

Perkara lain perlu diperhatikan ialah saiz ketiga-tiga objek. Matahari mempunyai garis pusat berukuran 1,391,980 kilometer (km) atau 109 kali ganda saiz bumi, manakala bumi pula bersaiz lebih kurang empat kali ganda saiz bulan. Walaupun saiz ketiga-tiga objek ini berbeza, apabila berlaku gerhana matahari penuh, saiz bulan seolah-olah sama dengan matahari.

Ini terjadi kerana kedudukan bulan dan matahari perlu berada pada suatu jarak nisbah sesuai semata-mata untuk hamba-Nya menyaksikan ciptaan-Nya.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Sungguh, Tuhanmu (adalah) Allah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, lalu Dia bersemayam di atas Arasy. Dia menutupkan malam kepada siang mengikutinya dengan cepat. (Dia ciptakan) matahari, bulan dan bintang tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah segala penciptaan dan urusan menjadi hak-Nya. Maha Suci Allah, Tuhan sekalian alam”. (Surah al A’raf, ayat 54)



Sebagai rekod, gerhana matahari hibrid berlaku tujuh kali pada abad ke-21, iaitu pada 2013, 2023, 2031, 2049, 2050 dan 2067. Ia dipanggil ‘hibrid’ kerana membabitkan ketiga-tiga kawasan bayang-bayang bulan iaitu umbra, penumbra dan antumbra menggabungkan ketiga-tiga jenis gerhana matahari iaitu, gerhana matahari penuh, gerhana matahari anulus dan gerhana matahari separa sepanjang laluan tengah gerhana.

Walaupun begitu, jenis gerhana kita dapat lihat bergantung kepada lokasi pemerhati di sepanjang laluan gerhana ini. Di sini, bayang bulan menutupi bumi mengikut lokasi pemerhati.

Fenomena gerhana matahari hibrid berlaku pada hari ini, pemerhati berada di Hemisfera Selatan boleh menyaksikannya mulai jam 9:35:34.3 dan berakhir pada jam 3:00:31.9 waktu tempatan. Fenomena gerhana matahari anulus dan gerhana matahari penuh boleh dilihat di sebahagian Australia, Timor-Leste, Indonesia (Papua Barat dan Papua) manakala gerhana matahari separa boleh dilihat di Asia Tenggara termasuk Malaysia, India Timur, Australia, Filipina dan New Zealand.

Laluan gerhana pula selebar 49 km bermula di Lautan Hindi ketika matahari terbit dan berakhir ketika matahari terbenam di Lautan Pasifik dan hanya melintasi kawasan darat di sebahagian Australia Barat, Timor-Leste dan Papua Barat.

Ketika fenomena ini berlaku, gerhana anulus akan kelihatan dalam beberapa saat di Lautan Hindi dan Lautan Pasifik dengan gerhana maksimum di Exmouth, Australia Barat (sekitar 1 minit), Timor-Leste (1 minit 14 saat) dan Papua Barat (1 minit 9 saat).

Gerhana matahari separa pula akan kelihatan dalam lingkungan bayangan penumbra bulan lebih luas meliputi Asia Tenggara termasuk Malaysia, India Timur, Australia, Filipina dan New Zealand.

Sebagai langkah keselamatan orang awam diingatkan menggunakan penuras khas bagi menyaksikan fenomena gerhana matahari. Melihat terus ke arah matahari tanpa menggunakan sebarang penuras sesuai dilarang kerana ia boleh menyebabkan kerosakan mata atau mengakibatkan buta kekal.

Penulis adalah Dekan Institut Sains Islam, Universiti Sains Islam Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker