Mahkamah benar pendakwaan kemuka keterangan mendiang ahli perniagaan

Lim Guan Eng-SPRM

 

Mahkamah Sesyen di sini membenarkan pihak pendakwaan dalam kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang membabitkan Lim Guan Eng untuk mengemukakan keterangan yang direkodkan daripada ahli perniagaan, mendiang Ewe Swee Kheng.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu hari ini selepas mendengar hujahan peguam Lim, Gobind Singh Deo, dan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shahruddin Wan Ladin pada 30 Nov.

Pihak pembelaan sebelum ini membantah percubaan pihak pendakwaan untuk mengemukakan keterangan Ewe dengan berkata, ia adalah rekaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya akan membenarkan keterangan mendiang ditanda sebagai eksibit,” kata Azura.

Pada 2018, Ewe ditahan oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah dalam projek terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.13 bilion. Beliau dijadualkan memberi keterangan dalam perbicaraan Lim.

Ahli perniagaan itu dilaporkan meninggal dunia setelah jatuh dari unit tingkat 16 kondominium mewah miliknya di Pulau Pinang pada 5 Okt lepas.

Selepas keputusan itu, Gobind memberitahu mahkamah pihak pembelaan ingin memanggil semula pegawai SPRM Mohd Nazri Mohd Mansor kerana beliau merekodkan kenyataan Ewe semasa menjalankan siasatan.

Wan Shahruddin memberitahu mahkamah, pihak pendakwaan tiada bantahan terhadap permohonan tersebut.

“Namun, Nazri tidak ada minggu ini,” katanya sambil menambah, pegawai itu boleh hadir pada tarikh perbicaraan seterusnya.

Perbicaraan diteruskan dengan bekas pegawai kewangan Pulau Pinang Mokhtar Mohd Jait memberi keterangan.

Lim sedang dibicarakan atas tuduhan menggunakan jawatannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu untuk meminta 10% keuntungan projek terowong dasar laut dan menerima RM3.3 juta dalam bentuk sogokan daripada Pengarah Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Beliau juga didakwa atas dua tuduhan dengan curang menyebabkan dua plot tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada dua syarikat.

fmt

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker