Irfan buru emas Sukan Asia
Jaguh lempar cakera Asia Tenggara, Muhammad Irfan Shamsuddin, teruja menempuh deretan kejohanan utama musim 2022, atas faktor itu pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 62.55 meter itu mula mengatur langkah mencapai prestasi terbaiknya.
Irfan menegaskan sekembalinya berguru dengan jurulatih lama, Frantisek Petrovic, dia kini lebih berkeyakinan untuk meraih pingat sulung Sukan Asia di Hangzhou, China September tahun hadapan.
Biarpun menjadikan Sukan Asia pentas untuk dirinya menyinar, atlet kelahiran Negeri Sembilan itu tekad melebarkan dominasi di Sukan SEA selepas merangkul empat pingat emas berturut-turut sejak 2013.
“Saya membuat persiapan bagi kejohanan akan datang.
“Buat masa ini, sasaran adalah memenangi saingan Sukan SEA, kerana ia adalah salah satu sebahagian daripada perjalanan untuk tahun depan sebelum menghadapi saingan Sukan Asia,” kata Irfan.
“Saya mahu memastikan menang dalam Sukan SEA sebelum menampilkan aksi cemerlang dalam Sukan Komanwel; dalam sukan ini apa sahaja boleh berlaku.”
awani