Aktivis ragui kesediaan kerajaan komited pelan iklim

 

Seorang aktivis alam sekitar meragui kesediaan kerajaan untuk komited dengan pelan penyesuaian kesan perubahan iklim.

Pengarah Eksekutif Pusat bagi Alam Sekitar, Teknologi dan Pembangunan Malaysia (CETDEM) Anthony Tan berkata Putrajaya bagus dalam merangka rancangan tetapi tidak melaksanakannya.

Semalam, Malaysia dilaporkan akan meminta USD3 juta (RM12.56 juta) daripada Tabung Iklim Hijau (GCF) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk membangunkan pelan penyesuaian perubahan iklim negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Zaini Ujang dipetik sebagai berkata pelan itu akan memberi tumpuan kepada bidang seperti air, pertanian, keselamatan makanan, perhutanan, kesihatan awam dan prasarana dan bahawa kementerian itu mempunyai rancangan jangka panjang untuk memohon dana tambahan bagi melaksanakan dasar itu.

Kata Tan, ia dianggap mulia sekiranya kerajaan meneruskan rancangan sedemikian, walaupun ia “sudah tertunggak hampir belasan tahun”.

“Kumpulan NGO telah mencadangkan pelan penyesuaian selama kira-kira 10 tahun,” katanya kepada FMT. “Orang ramai gelar kami peramal, tetapi kami tahu sedekad yang lalu bahawa krisis banjir akan berlaku.”

Beliau berkata kerajaan diragui mampu melaksanakan rancangan itu memandangkan terlalu banyak rancangan terdahulu tidak meninggalkan kesan ketara.

“Malaysia terkenal dengan rancangan. Rancangan Malaysia lima tahun memasuki pusingan ke-12. Rancangan Fizikal Negara (RFN) juga merupakan salah satu rancangan terkenal. Malangnya, ini menjadi terkhilaf dan berbelit apabila diterjemahkan ke setiap negeri, daerah dan bandar.

“Adakah kerajaan mempunyai iltizam politik untuk melaksanakan apa yang dipanggil sebagai pelan penyesuaian negara ini secara keseluruhannya? Bolehkah kerajaan persekutuan mengumpulkan semua wilayah dan negeri untuk bersetuju dalam mengusahakan penyesuaian iklim?” soalnya.

Tan berkata jumlah yang dimohon agak kecil dan bertanya mengapa kerajaan perlu mendapatkannya daripada sumber luar sedangkan ia boleh menggunakan bajet kementerian sedia ada.

Beliau berkata Putrajaya “mungkin” boleh mengumpul dana dengan mengeluarkan “dua atau tiga penasihat khas kepada Perdana Menteri”. Ismail Sabri Yaakob dilaporkan mempunyai tiga penasihat, masing-masing menelan belanja kira-kira RM50,000 sebulan, termasuk gaji kakitangan.

Jelasnya, beliau akan menyokong pendidikan yang lebih baik tentang kepentingan kesedaran iklim selain pembangunan dasar penyesuaian iklim.

“Terdapat perbezaan asas antara cuaca dan iklim,” katanya sambil menyebut satu adalah jangka pendek dan satu lagi jangka panjang. “Kebanyakan orang hanya melihat musim hujan dan kemarau, panas dan sejuk.

“Komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam perlu dimulakan dengan Perdana Menteri dan ahli Jemaah Menteri dan pendidikan perubahan iklim perlu mencapai setiap orang dewasa dan kanak-kanak, warganegara dan bukan warganegara.”

FMT

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker