Filem wajib tonton 2022 untuk peminat filem

 

Kurang 72 jam sebelum kalendar 2021 menoktahkan momen yang penuh pancaroba, kemaraan tahun 2022 ditagih ramai agar bersifat lebih ‘penyayang’ terhadap semua penduduk bumi.

Bumi semestinya semakin berganjak usia, namun buat penggemar filem-filem blockbuster antarabangsa, 2022 pasti menjanjikan satu kehebatan dunia sinematik dengan peluncuran filem-filem yang dinantikan ramai.

Pastinya tahun 2022 yang diharapkan menjadi tahun penyembuh selepas sejak beberapa tahun kebelakangan ini dunia dihempap dengan pelbagai tragedi terutama berkaitan Covid-19.



Avatar 2

Pengarah: James Cameron
Pengarah: Sam Worthington, Zoe Saldana, Stephen Lang
Tayangan: Disember 2022

TAHUN 2022 bakal menjadi tahun yang pasti merindingkan bulu roma peminat dunia sinemati apabila filem paling ditunggu ramai, Avatar 2 dijadualkan menjengah pawagam.

Pengarah, James Cameron pernah berjanji akan mengarahkan dua lagi sekuel, sekiranya Avatar yang diterbitan pada 2009 cemerlang dari segi kutipan.

Hasilnya, Avatar menjadi filem paling laris sepanjang zaman dan ternyata, James mengotakan janjinya dengan meneruskan naratif antara Jake Sully dan Neytiri dan eksplorasi kawasan baharu bernama Pandora.

Dikagumi dunia disebabkan kecanggihan kesan visual yang memberi dimensi baharu terhadap dunia perfileman, Avatar 2 semestinya berada di tangga paling atas filem paling ditunggu ramai buat tahun 2022.



Fantastic Beasts: The Secrets of Dumbledore

Pengarah: David Yates
Pelakon: Eddie Redmayne, Jude Law,
Ezra Miller
Tayangan: April 2022

Selepas menggelegak dengan dua sekuel terdahulu, francais Fantastic Beasts kembali dengan naskhah terbaharu berjudul Fantastic Beasts: The Secrets of Dumbledore.

Filem kali ini akan menyorot rahsia kehidupan pengetua Hogwarts, Albus Dumbledore.

Ramai yang tidak sabar menanti hubung kait atau hubungan persaudaraan antara Aurelius Dumbledore (Ezra Miller) dengan Albus lakonan Jude Law.

Selebihnya, tentulah pengembaraan magis Newt Scamander! yang tidak sabar mahu disaksikan umum.



Morbius

Pengarah: Daniel Espinosa
Pelakon: Jared Leto, Matt Smith,
Adria Arjona
Tayangan: 28 Januari 2022

Selepas menjayakan filem House of Gucci menerusi watak Paolo Gucci yang menerima respons pelbagai, Jared Leto melangkah setapak ke hadapan apabila menjayakan watak dalam galaksi Marvel Cinematic Universe (MCU), Morbius.

Dijangka diluncurkan sekitar hujung Januari nanti, Morbius mengisahkan seorang saintis bernama Dr. Michael Morbius yang menderita penyakit ganjil.

Dia cuba menyembuhkan diri sehingga bertukar menjadi puntianak yang sentiasa dahagakan darah manusia.

Sepatutnya ditayangkan pada Julai 2020, namun disebabkan kekangan Covid-19, tayangan filem arahan sutradara Daniel Espinosa tersebut terpaksa ditangguhkan.

Ramai yang tidak sabar menanti bagaimana ‘villain’ terbaharu MCU ini akan diserap masuk dalam galaksi Spider-Man dan untuk filem-filem berikutnya!



Doctor Strange in the Multiverse of Madness

Pengarah: Sam Raimi
Pelakon: Benedict Cumberbatch, Benedict Wong, Rachel McAdams, Elizabeth Olsen
Tayangan: Mei 2022

Bagi khalayak yang sudah menyaksikan Spider-Man: No Way Home, pastinya tidak sabar menantikan filem MCU selanjutnya berjudul Doctor Strange in the Multiverse of Madness.

Kalian sudah menonton trailer filem berkenaan dan banyak perkara mengejutkan akan dirungkai dalam ‘multiverse’ termasuk pertalian antara Scarlet Witch dengan Doctor Strange.

Persoalannya, apa akan berlaku kepada Doctor Strange apabila orang paling disayanginya ‘terkesan’ akibat perbuatannya sendiri. Nantikan.



Black Panther: Wakanda Forever

Pengarah: Ryan Coogler
Pelakon: Lupita Nyong’o, Danai Gurira, Martin Freeman
Tayangan: November 2022

Selepas kematian Chadwick Boseman, aktor yang membawakan watak Black Panther, bagaimana pengarah Ryan Coogler akan meneruskan naratif bawah jenama Black Panther.

Semuanya akan terjawab sekitar November 2021 apabila Black Panther: Wakanda Forever diluncurkan. Semestinya ramai yang menunggu kemajuan cerita filem adiwira kulit hitam itu.

kosmo

Leave a Reply