Kemas meja makan atau berdepan denda RM925

 

Pelanggan yang selesai menikmati makanan di medan selera atau kedai kopi namun enggan mengemas meja yang telah mereka gunakan, akan berdepan dengan denda bermula 1 Januari 2022 di Singapura.

Agensi berita Channel NewsAsia melaporkan dengan memetik kenyataan Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) pada Isnin lalu.

Penguatkuasaan di pusat penjaja, yang diumumkan Mei lalu, sudahpun dimulakan, dengan pesalah kali pertama akan menerima amaran bertulis manakala pesalah kali kedua berdepan denda S$300 (RM925).

Bagi kesalahan seterusnya, pesalah boleh berdepan denda mahkamah.

Sementara itu, penguatkuasaan seumpamanya bagi medan selera dan kedai kopi kini menuju penghujung tempoh percubaan dua bulan, iaitu dari 1 November hingga 31 Disember.

“Dalam tempoh itu, pegawai yang memeriksa penjarakan fizikal dari Agensi Makanan Singapura akan memantau kedai kopi dan medan selera untuk mengingatkan pengusaha kedai supaya memastikan pelanggan mereka mengemas dulang, sudu, garpu dan sampah sendiri,” ujar NEA dalam kenyataan media.

Poster dan kain rentang yang mengingatkan orang ramai tentang peraturan itu juga dipasang untuk perhatian umum.

Pengusaha kedai kopi dan medan selera juga diingatkan menyediakan infrastruktur pemulangan dulang makanan yang sewajarnya.

Bagaimanapun, pengusaha tempat makan boleh memohon untuk bantuan dana 50 peratus bagi menampung kos pemasangan infrastruktur itu, yang dianggarkan bernilai S$2,500 (RM7,700) setiap premis, menerusi Skim Sokongan Meja Bersih.

Dalam laporan pada Khamis (30 Disember), agensi itu mendapati, kadar pemulangan dulang makanan oleh pelanggan yang selesai menjamu selera, ke tempat yang disediakan, mencapai 84 peratus.

Agensi

Leave a Reply