Ahli Parlimen Dungun malu terima BPN

AHLI Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli terkejut selepas dimaklumkan beliau layak mendapat Bantuan Prihatin Nasional (BPN), hari ini.

Wan Hassan berkata, ketika itu beliau sedang mempengerusikan mesyuarat pembahagian bantuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 di Pejabat PAS Bahagian Dungun, kira-kira jam 10 pagi.

“Rakan memaklumkan status kelayakan saya itu ditularkan oleh orang ramai dan saya segera membuat semakan dan terkejut perkara itu sememangnya benar.

“Saya menghentikan mesyuarat sekejap dan menghubungi isteri dan anak bertanya sama ada mereka ada membuat permohonan BPN itu namun mereka menafikan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alur Tembesu, hari ini.

Menurutnya, memandangkan pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ditutup berikutan PKP, beliau gagal bertanya berhubung dengan status kelayakannya itu.

“Sebagai Ahli Parlimen saya berasa sangat malu kerana saya tidak layak menerima bantuan itu.

“Selepas membuat semakan, saya dapati ada beberapa lagi rakan Ahli Parlimen turut menerima bantuan sama,” katanya.

Wan Hassan berkata, beliau sudah membuat semakan dan mendapati wang bantuan sebanyak RM1,600 itu masuk belum dikreditkan ke dalam akaunnya.

“Selepas ini, jika wang itu dimasukkan, saya akan menulis surat kepada LHDN untuk mengembalikan semula wang itu.

“Saya berharap LHDN dapat melupuskan nama saya dalam sistem kerana perkara ini menjadi cemuhan netizen, “katanya.

Sementara itu, Wan Hassan berkata, setakat ini pihaknya membelanjakan sebanyak RM318,500 untuk sumbangan bantuan makanan kepada penduduk yang terjejas sejak PKP dilaksanakan.

“Selain peruntukan saya sendiri, kita turut menerima peruntukan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sebanyak RM100,000 termasuk bantuan daripada penderma.

“Setakat ini hampir 3,000 penduduk, ahli persatuan, badan bukan kerajaan (NGO), petugas barisan hadapan, pelajar universiti termasuk pusat asuhan kanak-kanak menerima bantuan,” katanya.

Menurutnya, beliau akan terus mendapatkan peruntukan dan akan terus membahagikan bantuan kepada penduduk sekiranya PKP disambung.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker