Tanpa gimik, karya bagus tetap dapat perhatian

 

Lain padang, lain belalang, lain hulu, lain juga parang. Meskipun tidak menggunakan gimik atau pelakon sensasi, namun, karya bagus tetap meraih perhatian penonton dalam apa juga situasi.

Ini dapat dibuktikan menerusi drama terbaharu berjudul Saat Kau Takluk Cinta Ini yang menggandingkan Idris Khan dan Intan Najuwa siaran TV3 dan trending nombor satu menerusi penstriman hiburan inovatif dalam talian, iQIYI pada saat beberapa negeri diuji dengan musibah banjir.

Penerbitnya, Jaja Ishak berkata, dia terharu drama Saat Kau Takluk Cinta Ini arahan Zamri Zakaria dan terbitan Kembara Sufi Sdn Bhd mendapat sambutan baik biarpun ditayangkan ketika kekalutan musibah banjir.

“Alhamdulillah, masih ramai penonton memberikan sokongan terhadap drama Saat Kau Takluk Cinta Ini pada saat ini.

PLATFORM iQIYI

“Paling mengejutkan, drama ini trending nombor satu menerusi platform iQIYI yang ditayangkan selepas sejam disiarkan di kaca TV3.

“Jujurnya, saya bersyukur selepas melalui beberapa cabaran bagi menyiapkan penggambaran drama. Banyak cabaran dilalui disebabkan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ketika itu.

“Syarikat produksi terpaksa menangguhkan penggambaran dan menyambungnya selepas Aidilfitri. Melihatkan sambutan peminat, ia menambahkan semangat kami,” katanya kepada BH Online.

Selaku penerbit, Jaja turut mengulas isu pemilihan pelakon membabitkan stesen televisyen (TV).

Katanya, kebanyakan nama pelakon yang dicadangkan jarang ditolak oleh stesen TV.

“Saya mencadangkan nama pelakon, tetapi ia juga dilakukan atas perbincangan bersama stesen TV. Saya tidak pernah bermasalah dalam pemilihan pelakon.

“Kebanyakan nama yang dicadangkan diterima stesen TV. Namun, ada juga beberapa nama yang ditolak,” katanya.

Jaja menegaskan, pihaknya tidak mempunyai masalah dengan barisan pelakon kerana kebanyakannya sudah faham corak kerja dilakukan syarikat produksi miliknya.

“Bagi pelakon yang pernah bekerja dengan saya, mereka tahu sistem yang ditetapkan. Jadi, saya tidak pernah berdepan dengan masalah.

“Jika dilihat, kebanyakan pelakon yang dipilih bukan semua mempunyai jutaan pengikut dalam laman sosial. Saya lebih suka bekerjasama dengan pelakon berbakat dan mempunyai disiplin bagus.

“Diakui, saya juga mengharapkan rating tinggi, tetapi saya tidak suka bergantung kepada gimik bukan-bukan.

“Ini kerana saya mahukan rating tinggi berlaku secara semula jadi,” katanya.

SLOT SAMARINA TV3

Mengulas drama Saat Kau Takluk Cinta Ini yang bersiaran menerusi slot Samarinda di TV3, ia adalah adaptasi novel karya Sera Hezra.

Skrip diolah semula oleh Eja Lorena itu menjalani penggambaran sekitar Pahang dan Kuala Lumpur sebagai lokasi utama.

“Jika diikutkan, jalan cerita yang dipersembahkan dalam drama ini kuat dan dramatik. Saya bertuah dapat menampilkan barisan pelakon hebat dalam drama ini.

“Semua pelakon memberi kerjasama yang baik dan menghidupkan watak diberikan. Saya harap, drama ini terus diterima dan memberikan manfaat kepada penonton,” katanya.

Selain Idris dan Intan, drama Saat Kau Takluk Cinta Ini turut dibintangi oleh Wafariena, Shakilla Koriri, Syazwan Zulkifly, Wan Maimunah, Raja Azmi, Farhan Asri, Jasmin Hamid dan ramai lagi.

Terdahulu, Jaja turut melancarkan single Takdir nyanyian Aliff Iskandar yang dijadikan runut bunyi untuk drama ini.

Takdir boleh ditonton melalui YouTube Indigital Music dan didengar menerusi semua platform digital.

BH

Leave a Reply