Terengganu, Kelantan catat peningkatan mangsa banjir

 

Hujan berterusan di negeri Pantai Timur semalam menyaksikan peningkatan mangsa banjir yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan dan Terengganu, hari ini.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan peningkatan mangsa banjir lebih 100 peratus di Terengganu dalam tempoh kurang 12 jam.

Terengganu mencatatkan 137 mangsa daripada 42 keluarga di dua PPS sekitar jam 8.20 malam tadi, namun jumlah itu meningkat kepada 390 mangsa daripada 115 keluarga di dua PPS setakat jam 7 pagi tadi.

Turut mencatat peningkatan adalah jumlah mangsa banjir di Kelantan yang merekodkan pertambahan lebih 22 peratus setakat pagi tadi.

Sejumlah 1,450 mangsa banjir daripada 430 keluarga ditempatkan di 15 PPS setakat jam 8.13 pagi tadi, berbanding 1,186 mangsa daripada 350 keluarga di 14 PPS sekitar jam 9 malam tadi.

Bagaimanapun, angka keseluruhan mangsa banjir di seluruh negara mencatatkan penurunan pagi ini berbanding semalam.

Jumlah mangsa banjir di lima negeri ketika ini menurun kepada 4,824 mangsa daripada 1,469 keluarga yang dipindahkan di 55 PPS.

Ia adalah penurunan lebih tujuh peratus berbanding 5,208 mangsa daripada 1,538 keluarga di 54 PPS, malam tadi.

Daripada lima negeri itu, mangsa banjir di Pahang mencatat penurunan daripada 3,390 mangsa daripada 1,005 keluarga di 33 PPS semalam, kepada 2,489 mangsa daripada 783 keluarga di 33 PPS pagi ini.

Negeri Sembilan yang merekodkan 29 mangsa banjir daripada sembilan keluarga di satu PPS, serta Selangor (466 mangsa daripada 132 keluarga di empat PPS), tidak mencatat perubahan dalam tempoh itu.

BH

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker