“Kerajaan, dengarlah rintihan kami”

 

Walaupun pelbagai bantuan dan insentif disalurkan kerajaan kepada mangsa banjir, para pekebun dan penternak kecil di sekitar Dengkil yang turut terjejas dengan bencana itu berharap nasib mereka yang diibaratkan ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ tidak dilupakan.

R Gunasegar, 44, yang mengusahakan ladang ternakan di Kampung Sri Tanjung, di sini berkata banjir besar yang melanda 18 Disember lalu turut memberi kesan kepadanya apabila 197 ekor ayam lemas dihanyutkan air banjir manakala 28 ekor lembu kini kurus kering kerana tiada tempat tidur dan makanan.

“Banjir itu memberi kesan kepada haiwan ternakan saya…lembu menjadi lemah kerana berendam dalam air sehingga paras perutnya selama tiga hari manakala 40 ekor kambing saya walaupun terselamat kerana kandangnya lebih tinggi, kurap dilihat mula naik pada badan haiwan itu,” katanya di sini.

Gunasegar yang sudah 10 tahun menceburi bidang ternakan berharap pihak berwajib dapat menghulurkan bantuan kepada penternak dan pekebun terutama yang berskala kecil kerana musibah banjir ini memusnahkan segala-galanya dan tiada tempat bergantung untuk memohon pertolongan.

Katanya, walaupun pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar ada turun memberi bantuan dari segi dedak selepas kejadian banjir itu, penternak kecil masih memerlukan bantuan lain kerana banyak peralatan seperti mesin cincang rumput musnah ditenggelami air.




Bagi Laman Ab Rahman, 60, nasib beliau tidak sebaik Gunasegar kerana tiga ekor lembu ternakannya mati lemas yang menyebabkan kerugian ribuan ringgit.

“Masa kejadian banjir jam 4 pagi air sudah naik paras leher. Saya redah air untuk keluarkan lembu-lembu kalau tidak semua akan lemas. Saya ada 19 ekor dan tiga ekor yang berumur tiga tahun setengah mati. Harga jualan bagi seekor dalam anggaran RM3,500 hingga RM4,000. Sebelum ini, banjir juga tapi kali ini paling buruk,” katanya.

Beliau berkata, walaupun banjir sudah surut, lembu ternakannya terutama yang muda kini dijangkiti penyakit kulit ekoran air yang kotor dan beliau terpaksa menanggung kos dengan membeli ubat-ubatan.

Bagi pekebun kecil, Anuar Abu Bakar, 65, berkata, bantuan kepada para petani dan penternak perlu diberi perhatian untuk mereka bangkit semula kerana banjir kali ini menyebabkan mereka hilang mata pencarian.

Kawasan penanaman pisang seluas 0.81 hektar di Kampung Semarang, Dengkil yang diusahakannya turut musnah ekoran banjir menyebabkan 4,800 pokok pisang ‘lemas’ ditenggelami air sekali gus hilang punca pendapatan kerana kebiasaannya dalam 500 hingga 600 kilogram pisang akan dijual kepada pasar-pasar dan pemborong kilang kerepek.

Bagi pekebun cili, Ahmad Irham Mohd Noor, 40, yang kerugian puluhan ribu ringgit selepas 5,000 pokok cilinya yang ditanam secara fertigasi musnah sekelip mata selepas ditenggelami banjir di Kampung Sri Tanjung pula mahu proses permohonan bagi sebarang bantuan dapat dimudahkan.

Beliau berharap pihak berkaitan dalam pertanian dan penternakan dapat memberi bantuan wang tunai untuk mereka yang terjejas ekoran banjir supaya dapat melakukan penananam semula kerana kebanyakan tanaman musnah ditenggelami air.

“Cili ini sepatutnya dapat dipetik hujung bulan depan namun kini tiada apa yang tinggal. Yang saya terkilan sangat ialah sudah sebulan saya tanam pokok, tiada yang kena serang penyakit dan semua sihat…namun siapa sangka semua musnah sekelip mata,” katanya.

metro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker