Cari saksi yang boleh hadir ke Mahkamah – Hakim

 

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah sebentar tadi mengarahkan pihak pendakwaan mencari saksi yang boleh hadir untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa berhubung penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ia selepas Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memaklumkan saksi pendakwaan ke-12, bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB, Azmi Tahir tidak dapat meneruskan sesi soal balasnya hari ini.

“Awak (pendakwaan) tidak bersalah dalam hal ini dan saya hargai usaha awak untuk mencari saksi lain untuk hadir. (Tetapi) awak ada kira-kira 50 orang lagi saksi dalam senarai dan saya rasa awak boleh cari seseorang untuk hadir beri keterangan.

“Kita dah kehilangan sesi pagi, jadi cari seseorang untuk beri keterangan pada petang ini agar prosiding tidak membazir,” kata hakim berkenaan sebelum menangguhkan prosiding.

Terdahulu, Ahmad Akram memaklumkan mahkamah Azmi telah mengemukakan sijil sakitnya pada pagi ini.

“Dia ada di luar (mahkamah). Saya tetap memintanya hadir sekiranya mahkamah ingin bertanya sendiri kepada saksi mengenai keadaannya. Tadi saya telah berjumpa dengannya sendiri dan saya lihat matanya merah serta badannya panas, tetapi bukan Covid-19,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya itu kemudian memaklumkan pihaknya telah menelefon beberapa lagi saksi seperti pegawai syarikat audit KPMG, Datuk Johan Idris; pegawai khas Najib, Datuk Wan Ahmad Shihab Wan Ismail dan bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail.

“Datuk Johan kini berada di London. (Datuk) Wan Ahmad Shihab tidak sihat, dia cirit-birit sejak tiga hari lalu manakala Tan Sri Ismee kini sedang dikuarantin selepas pulang dari umrah.

“Kami juga telah menelefon bekas setiausaha syarikat 1MDB, Lim Poh Seng tetapi beliau ada janji temu bagi mendapatkan dos vaksin penggalak hari ini. Seorang lagi bekas setiausaha syarikat, Goh Gaik Kim memaklumkan beliau ada dua mesyuarat penting dan tidak boleh membatalkannya,” katanya.

Najib kini sedang dibicarakan atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana berjumlah hampir RM2.3 bilion di Mahkamah Tinggi di sini.

Utusan



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button