Pertukaran SUK Melaka diketahui awal – Sulaiman

 

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menegaskan beliau sudah mengetahui lebih awal sebab pertukaran Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Kamel Mohamad ke Putrajaya dalam tempoh 24 jam, berkuat kuasa semalam.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkannya yang didakwa beberapa pihak dilakukan secara drastik selain enggan mengambil peduli tanggapan terhadap tindakan terbabit.

 

SULAIMAN MD ALI

“Saya sudah tahu lama (sebab pertukaran SUK), (antara) sebulan atau tiga bulan lalu dan itu (sebenarnya) perkara biasa ke atas mana-mana ketua jabatan kerajaan.

“Mungkin dia (Kamel) diletakkan di satu kementerian yang lebih memerlukan khidmatnya,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di Seri Negeri di sini hari ini.

Kamel yang memulakan tugas sebagai SUK Melaka pada Oktober tahun lalu, dikatakan menerima notis 24 jam pada Selasa lalu yang mengarahkannya berpindah ke Putrajaya bermula semalam.

Kekosongan jawatan itu sudah diisi oleh Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Zaidi Johari berkuat kuasa semalam.

Keadaan itu bagaimanapun dipertikaikan beberapa pihak, termasuk Ketua Pembangkang Melaka, Adly Zahari menerusi Facebooknya, pagi tadi.

Adly yang juga bekas Ketua Menteri Melaka mendakwa pertukaran itu seperti tergesa-gesa dan sewajarnya tindakan itu dilakukan dengan proses serta etika yang betul.

Mengulas dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil itu, Sulaiman berkata, semua pihak mempunyai hak untuk bersuara termasuk membabitkan urusan kerajaan.

“Suka hatilah orang nak cakap kerana kita tahu apa sebenarnya. Mungkin zaman dia (Adly sebagai Ketua Menteri) benda ini tidak berlaku, zaman saya berlaku kerana ada sebab musabab,” katanya.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, pertukaran ketua atau pegawai kerajaan hanya perkara biasa dalam landskap pentadbiran kerajaan.

Katanya, tidak timbul soal berlaku kemelut dalam pentadbiran kerajaan negeri sehingga memaksa pertukaran drastik seperti didakwa sesetengah pihak.

“Pertukaran (pegawai kerajaan) itu perkara biasa kerana datang, masuk, pergi dalam setiap jawatan itu adalah suatu proses biasa dan tidak ada apa yang pelik.

“Kalau dia diperlukan dalam satu-satu tempat yang lebih baik, dia pergilah. Jadi tidak timbul soal kemelut ke apa sebab saya sendiri tahu sudah lama,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker