Scha Ellinea ada anxiety disorder, sukar tidur malam

 

Akibat menghidapi penyakit gangguan kebimbangan (anxiety disorder) yang teruk, pelakon seksi, Scha Ellinea, 23, mendedahkannya berdepan dengan masalah sukar tidur malam.

Lebih membimbangkan, Scha atau nama sebenarnya, Nur Azleen Natasha Mohamed Mubeen berkata, penyakitnya itu menjadi lebih kronik apabila tinggal bersendirian.

“Selain menghidapi masalah gangguan kebimbangan, saya juga berdepan masalah insomnia yang teruk. Pernah seketika, saya hanya dapat melelapkan mata pada jam 8 pagi keesokan hari.

“Bila tak boleh tidur, saya akan menonton Netfilx ataupun melayan media sosial. Penyakit ini juga menyebabkan Scha takut tidur seorang diri dan sentiasa memerlukan teman.

“Saya takut tidur seorang diri bukan takut hantu, tetapi, disebabkan penyakit yang dihidapi ini. Selalunya kawan baik atau pembantu peribadi yang akan menemani saya tidur.

“Jika mereka ada urusan dan tak dapat temankan saya, itu yang sampai lewat pagi baru dapat tidur,” katanya.



Diusik pertanyaan mungkin perasaan takut tidur seorang diri akan hilang jika mendirikan rumah tangga, pelakon drama SiTiktok itu berkata, dia masih belum bersedia ke arah itu walaupun sedang mengenali hati budi seseorang.

“Buat masa ini, saya tak terfikir mahu mendirikan rumah tangga kerana fokus membina nama dan mahu membalas jasa keluarga.

“Namun, tak nafikan, si dia mengambil berat mengenai saya. Ada masanya, si dia melayan saya berbual hingga pagi, cuma tidaklah selalu,” katanya ketika ditemui pada sidang media program realiti, Master In The House Malaysia terbitan TV3 di Petaling Jaya Performing Arts.

Oktober lalu, pelakon yang berasal dari Sungai Petani, Kedah ini mendedahkan, mengalami kemurungan teruk dalam laman Instagram (IG).

Sehubungan itu, Scha berkata, dia memastikan janji temu dengan doktor, setiap minggu dapat dipenuhi.

Mengulas lanjut, pelakon drama Cik Reen & Encik Ngok Ngek itu berkata, dia mengakui rutin bertemu doktor masih dijalankan, tetapi, hanya sebulan sekali.

“Doktor kata penyakit gangguan kebimbangan dialami berada di bawah kategori Skizofrenia, memerlukan pengawasan doktor dan makan ubat.

“Sebulan sekali saya akan berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan. Selain itu, ada lima jenis ubat yang harus dimakan termasuk ubat insomnia yang dihidapi ini,” kata Scha.

Mengulas pembabitan dalam Master In The House Malaysia yang menjalani penggambaran di Korea Selatan, Scha berkata, sebagai artis, program realiti itu banyak memberi manfaat kepadanya terutama dari segi perkembangan kerjaya.

“Ada dua orang master yang ditemui yang memberi inspirasi paling besar dalam hidup iaitu Datuk Yusof Haslam dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Rasa sangat kagum apabila mendengar kisah bagaimana mereka bermula dari bawah, sebelum berada pada tahap sekarang serta cabaran perlu dihadapi sebelum menggapai kejayaan,” ujarnya dalam nada teruja.

Selain Scha, program adaptasi program realiti popular Korea Selatan itu turut menampilkan empat selebriti lain iaitu Hael Husaini, Andi Bernadee, Sharifah Rose dan anggota kumpulan Meyrasam, Cassia.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button