Raja Bomoh didakwa di Mahkamah Syariah Ipoh

 

Individu bergelar Raja Bomoh akan didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh di sini pada Jumaat.

Tuduhan ke atas Raja Bomoh atau nama sebenarnya Ibrahim Mat Zin dibuat mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam serta Seksyen 16 enakmen sama kerana mengingkari Fatwa Jabatan Mufti Perak.

Turut didakwa bersama individu berusia 71 tahun itu ialah seorang wanita yang dikenali ‘Puteri Zaleha’.

Raja Bomoh dilihat hadir memakai sut hitam dan bersongkok ke pekarangan mahkamah sekitar jam 11 pagi Jumaat.

Tuduhan dibuat ke atas dua individu berkenaan susulan satu ritual menolak musibah banjir yang dilakukan mereka di Dataran JPS di Teluk Intan yang videonya tular di media sosial.

Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada Rabu telah membuka kertas siasatan terhadap Raja Bomoh mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam.

Di bawah seksyen itu, mereka yang memperseda akan amalan atau upacara yang berkaitan agama Islam adalah suatu kesalahan yang boleh disabitkan dengan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Video berdurasi 25 minit yang tular di Facebook itu memperlihatkan Raja Bomoh bersama seorang wanita dikenali sebagai ‘Puteri Zaleha’ membuat ritual tepung tawar dipercayai untuk menolak kejadian banjir.

Mereka menggunakan bahan-bahan seperti beras, kunyit, bunga dan daun-daun kayu. Turut kelihatan di hadapan mereka ialah surah Yasin dan kitab suci al-Quran.

awani

Leave a Reply