Penipuan SMS: Dua lagi direman termasuk pegawai syarikat telco

fa44813048993f69f768470348d587f85facba962ed6b

PUTRAJAYA, 12 Nov — Dua lagi individu termasuk seorang ketua pegawai teknologi sebuah syarikat telekomunikasi direman bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah membabitkan penipuan sistem pesanan ringkas (SMS).

Majistret Siti Roslizawati Mohd Zanin mengeluarkan perintah reman selama lima hari bermula hari ini sehingga 16 Nov terhadap kedua-dua lelaki berkenaan selepas mendengar permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini.

Ia menjadikan keseluruhan enam individu direman berhubung siasatan kes itu setakat ini.

Menurut sumber SPRM, pegawai syarikat telco berusia 47 tahun dan ketua pegawai teknologi berusia 39 tahun itu ditahan antara pukul 2.34 petang dan 5.14 petang di Ibu Pejabat SPRM di sini semalam selepas hadir memberi keterangan.

Sumber itu berkata pegawai syarikat telco dan ketua pegawai teknologi itu dipercayai telah memberi dan menerima wang rasuah untuk tujuan mendapatkan maklumat data peribadi pelanggan yang menggunakan pelan prabayar.

“Nombor telefon yang diperoleh akan digunakan oleh sindiket penipuan penyedia kandungan (content provider) dengan mengenakan bayaran langganan menerusi SMS tanpa pengetahuan dan persetujuan daripada pengguna,” katanya.

Semalam, seorang pegawai syarikat (telco) direman selama lima hari sehingga 15 Nov ini berhubung kes sama. Lelaki berusia 49 tahun itu disyaki menerima wang rasuah berjumlah RM300,000 secara berperingkat melalui akaun peribadinya daripada sebuah syarikat sebagai balasan mendapatkan senarai nombor telefon pelanggan yang menggunakan pelan prabayar dari 2017 hingga sekarang.

Pada Selasa, tiga pengarah syarikat termasuk dua bergelar ‘Datuk’ direman lima hari hingga 14 Nov kerana disyaki memberi rasuah berjumlah jutaan ringgit kepada pegawai syarikat telco untuk mendapatkan nombor telefon pelanggan bagi tujuan penipuan berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker