Penduduk Kelantan bimbang peniaga degil, abai SOP

 

Segelintir peniaga di negeri ini didapati tidak mengendahkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kerana tidak memakai pelitup muka dengan sempurna ketika berniaga dan bersemuka dengan pelanggan.

Tinjauan BERNAMA di beberapa jajahan di Kelantan, termasuk Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Mas, Machang dan Kuala Krai mendapati pemakaian pelitup muka dianggap remeh oleh sesetengah peniaga, malah ada yang sekadar meletakkannya di bawah hidung, dagu dan ada yang langsung tidak memakainya.

Pekerja sebuah syarikat di Kota Bharu, Zulfadhli Rosley, 31, berkata sikap sedemikian seharusnya tidak wujud dalam kalangan peniaga kerana penularan wabak COVID-19 masih membimbangkan dan boleh berjangkit sekiranya tiada pematuhan SOP.

“Mereka (peniaga) sepatutnya patuh SOP, bukan pelanggan sahaja yang kena patuh. Apabila saya masuk ke kedai mereka, saya yang pakai pelitup muka , tapi peniaga berkenaan tidak pakai (pelitup muka).

 

covid

“Saya terpaksa tegur, minta peniaga berkenaan pakai pelitup muka, saya rasa sungguh kecewa kerana peniaga ini tiada sifat bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan pelanggan mereka,” katanya ketika ditemui , di sini, hari ini.

Sementara itu, suri rumah, Norkatini Md Yusuff, 50, berkata ketika kerajaan membenarkan peniaga membuka semula operasi, beliau amat berpuas hati terhadap pematuhan SOP mereka.

Bagaimanapun, lama-kelamaan ia sangat menyedihkan kerana didapati beberapa peniaga kedai dan gerai mula mengabaikan SOP pemakaian pelitup muka dan sekadar meletakkan di bawah hidung dan dagu sahaja.

“Bagi saya, peniaga ini perlu mempunyai kesedaran, jangan pentingkan diri sendiri serta keuntungan perniagaan semata-mata sehingga boleh mengancam kesihatan pelanggan mereka,” katanya yang berasal dari Kampung Jelatok, Tanah Merah.

Selain itu, seorang usahawan dalam talian di Batu Balai, Kuala Krai, Nurain Najua Saari, 29, berkata tanggungjawab memastikan pematuhan SOP dalam kalangan peniaga tidak seharusnya diletakkan pada pihak berkuasa semata-mata kerana mereka tidak mampu melakukan operasi di semua premis perniagaan.

“Oleh itu, sebagai rakyat, saya seru supaya kita perlu menjadi mata dan telinga kepada penguat kuasa ini dan segera buat laporan sekiranya terdapat peniaga yang ingkar dan berdegil untuk mematuhi SOP,” katanya.

– BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker