Zahirah mahu jadi psiko, langsing sebab anak

 

Zahirah Macwilson masih muda, berbakat, miliki kriteria dan personaliti seorang bintang seni lakonan yang berpotensi untuk terus memahat nama dalam persada seni tanah air.

Bukan hanya di gelanggang domestik, pemilik nama lengkap Nur Zahirah MacWilson Zainol ini barangkali mampu berkembang ke peringkat antarabangsa jika beroleh peluang dan ruang sewajarnya.

Bertukar status daripada seorang wanita bujang kepada seorang isteri dan kemudian, seorang ibu, Zahirah kini sengaja memberi perhatian lebih terhadap perihal peribadi iaitu keluarga kerana itulah tumpah aliran lumrah kehidupannya sekarang.

Psiko ‘thriller’


Ironinya, Zahirah tetap sedia dan setia mengayuh langkah untuk terus menyinari dunia lakonan.

Tinggal lagi dia perlu lebih tahu apa yang perlu didahulukan dalam kamus hidupnya buat waktu ini.

“Kalau boleh saya nak menjayakan watak psiko thriller. Karakter seperti ini memang saya belum diberi peluang lagi untuk jayakan sehingga sekarang.

“Kalau bukan seperti karakter yang sebutkan itu, mungkin sesuatu yang lebih ‘deep’ berbanding apa yang pernah saya lunaskan sebelum ini,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Memikul tanggungjawab ibu kepada Isaac Raees yang menginjak usia setahun, Zahirah, 26, memaklumkan, dia mencuba sedaya upaya untuk memberi keseimbangan antara peribadi dan urusan kerjaya.

Buat masa sekarang, Zahirah masih dalam fasa memperlahankan kerjaya lakonan sementelah putera hatinya semakin membesar.

“Isaac membesar dengan sangat baik dan sangat kacak. Saya sendiri belum bersedia untuk bekerja ‘full-force’ macam dahulu sebab nak tengok anak membesar depan mata.

“Tiada orang nak jaga Isaac di rumah kalau saya keluar bekerja aktif macam dahulu. Sebab buat masa sekarang masih mencari pengasuh yang sesuai.

“Bukan senang nak cari pengasuh yang boleh jaga anak kita macam mana mereka jaga darah daging mereka sendiri,” katanya lagi.

Rezeki ‘seni’ Isaac

Dedah pelakon filem Bulan dan Pria Terhebat itu, Isaac sudah mula menunjukkan perkembangan yang membuatkan hatinya sebagai seorang ibu terusik.

“Isaac dah mula pandai ‘jalan-jalan’,” katanya tersenyum manis ringkas memberi deskripsi tentang perkembangan anaknya itu.

Ditanya tentang keterbukaan andai Isaac mula terlibat dalam sebarang tawaran iklan waima lakonan pada usia kanak-kanak, isteri kepada pelakon Aiman Hakim Redza itu tidak mempunyai masalah jika ada peluang bersesuaian.

“Kalau jadi duta produk kanak-kanak atau terlibat dalam iklan, saya tidak mempunyai masalah.

“Kena sedar, ibu dan bapa Isaac juga merupakan selebriti. Kalau dia dapat rezeki terlibat dalam kempen atau jenama yang sesuai dengan usianya, saya okey sahaja.

“Kalau terlibat dalam penggambaran drama atau benda-benda begitu, saya tak rasa itu boleh dilakukan kerana dia masih terlalu kecil untuk faham dunia lakonan,” tuturnya.

Ramping, keluar zon selesa

ZAHIRAH MCWILSON


Dalam pada itu, ditanya tentang penampilannya yang masih kekal ramping dan anggun walaupun sudah berstatus seorang ibu, Zahirah mengakui tidak mengamalkan diet spesifik.

“Ramai yang ingat saya kerap bersenam tapi sebenarnya tidak. Saya makan sahaja benda-benda manis. Takut juga kalau kena kencing manis (ketawa).

“Tapi untuk menjawab soalan itu, jaga anak kecil memang senang turun berat badan selepas bersalin. Kadang-kadang sampai saya tak sempat makan,” ujarnya.

Berganjak sedikit kepada isu yang lebih serius, Zahirah diminta pandangan berkenaan landskap seni lakonan tanah air yang memerlukan anjakan sekiranya ingin terus bersaing maju dengan negara luar.

Ujarnya, dia menyeru para pemain industri perfileman tanah air agar keluar dari zon selesa masing-masing.

Menurut Zahirah, sudah tiba masanya untuk industri terus bergerak ke hadapan dan tidak terlalu bergantung dengan cerita-cerita klise yang kurang memberi faedah kepada perkembangan industri sinematik tempatan.

“Saya rasa, kita perlu keluar dari zon selesa. Sekarang ini, kita selalu sangat buat projek drama mahupun filem yang diadaptasi daripada novel dan cerita ‘cintan-cintun’.

“Rasanya, penonton kita dah matang dan bijak nak terima kandungan yang bersifat lebih ‘deep’ atau membuka minda.

“Tengok sahaja bagaimana industri lakonan Korea Selatan berkembang satu dunia sekarang. Memang ada penonton untuk buat cerita yang membuka minda cuma, entahlah, mungkin apa yang kurang sekarang dari aspek kreativiti dan idea di sini (Malaysia),” katanya menggulung perbualan.


kosmo

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker