Allahyarham Mamat Khalid dampingi ‘rider’ demi karya ‘genius’

 

Isteri Allahyarham Mamat Khalid, Hasmah Hassan menganggap sitkom Klik Rider yang sedang disiarkan Astro Warna sebagai antara karya ‘genius’ sentuhan terakhir sutradara prolifik itu.

Malah, Hasmah yang turut bertindak sebagai penerbit eksekutif sitkom itu percaya legasi ditinggalkan arwah suami kekal bernyawa.

Hasmah berkata, idea menerbitkan sitkom itu tercetus apabila arwah suami mula mendampingi penghantar makanan atau ‘rider’ yang menjadi antara petugas barisan hadapan penting pada era pandemik COVID-19.

“Bermula dengan merisik apa dilalui golongan itu setiap hari ketika membuat penghantaran kepada pelanggan, makin banyak cerita dikongsi mereka.

“Kisah kehidupan ‘rider’ kemudian dikembangkan. Setiap episod ada pengajaran dan kritikan berguna yang diselit arwah… Sayang kalau tak tengok.

“Ada episod yang mengetengahkan isu bekalan air terputus. Macam-macam kritikan keluar daripada dialog… Kata-kata pedas pun ada.

“Bagi saya, produk ini setanding dengan sitkom popular, Friends,” katanya.

Disiarkan sejak 17 September lalu, penggambaran Klik Rider dilakukan di Studio Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hulu Kelang sejak 20 April hingga 25 Mei lalu.

Hasmah berkata, arwah suami memberi perhatian rapi terhadap penghasilan 26 episod sitkom berkenaan.



“Setiap butir dialog dipertuturkan dijaga… Pelakon tidak dibenarkan menghasilkan dialog sendiri. Malah, ‘back drop’ juga diletak skrin hijau untuk komposisi teknologi kesan imej janaan komputer (CGI).

“Selama ini, tidak ada produksi sitkom melakukannya,” katanya.

Sitkom Klik Rider dibintangi Zahiril Adzim, Bulan Terry, Jasmine Suraya, Anas Ridzuan dan Shariff Zero sebagai teraju utama. Sitkom ini turut dibantu pelakon undangan Dewa Sabri, Rashid Othman dan Joey Daud.

Allahyarham Mamat atau nama sebenar, Mohamad Mohamad Khalid, 58, menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Slim River, Perak pada 24 Oktober lalu, jam 12.30 tengah malam.

Allahyarham meninggalkan balu, Hasmah dan lima anak. Selain Amen, arwah dan isteri dikurniakan empat anak lain iaitu Mohd Khalid Zaffa, Nor Sara, Mohd Khalid Adam dan Nur Hassanah.


BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker