Abu Zahar Ujang sedia disiasat

 

Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang menegaskan beliau sedia disiasat mana-mana organisasi berhubung kenyataannya pada 5 Januari lalu berhubung dakwaan pemilikan saham dan kepentingan dalam syarikat oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Pada sidang media hari ini, beliau juga menyerahkan kepada budi bicara mutlak kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan kedudukannya sebagai pengerusi LPPR.

Abu Zahar turut meluahkan kekecewaan dengan kenyataan terbuka enam anggota lembaga itu yang menjauhkan diri daripada kandungan kenyataan media pada 5 Januari, dipercayai dilakukan atas dasar reaksi tidak popular daripada segolongan pihak.

Beliau turut mendakwa cara media melaporkan sidang medianya itu telah memberi gambaran tidak tepat dalam kalangan masyarakat.

Katanya, semasa sidang media itu, kenyatan penuh sebanyak 13 muka surat yang mengandungi keseluruhan kenyataannya diedarkan, namun didakwanya tidak dilaporkan secara menyeluruh oleh sesetengah media sehingga menyumbang salah tanggapan.

“Terdapat pelbagai isu selain isu berkaitan ‘alegasi salah laku’ terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang telah diberi pandangan dan pendapat oleh LPPR.

“Tetapi itupun tidak disentuh dan dilaporkan media. Apatah lagi, video berkaitan sidang media yang tular cuma memaparkan sebahagian kecil kenyataan saya,” katanya.

BHOnline

Leave a Reply