Kubur bercahaya waktu malam

 

Kesukaran ahli jawatankuasa Masjid Jamek Pasir Panjang, di sini, menyempurnakan pengebumian jenazah pada waktu malam akhirnya dapat diatasi.

Ia apabila Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi mengambil inisiatif menyampaikan sumbangan satu unit lampu limpah berkuasa solar kepada masjid berkenaan semalam.

Penyelaras DUN Linggi, Rusli Abdullah, berkata, pihaknya menerima aduan ahli jawatankuasa kariah masjid itu yang sering berhadapan kesukaran untuk melaksanakan urusan pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Panjang, di sini, terutama pada waktu malam.

“Kawasan tanah perkuburan Islam itu memang berkeadaan gelap kerana tiada lampu limpah di situ. Setiap kali urusan pengebumian pada waktu malam, mereka berhadapan masalah hingga kadangkala terpaksa menggunakan lampu suluh.

“Keadaan itu menyebabkan urusan pengebumian jenazah kurang lancar dan terganggu.

“Inisiatif diambil bagi mengatasi masalah berkenaan dengan menyampaikan sumbangan satu unit lampu limpah yang berkuasa solar,” katanya selepas majlis penyerahan lampu berkenaan kepada Pengerusi masjid, Ustaz Mahadir Rahman, di Masjid Jamek Kampung Pasir Panjang di sini.

Rusli berkata, kos sebenar lampu berkenaan ialah hampir RM20,000 dan ia mudah digunakan serta boleh digerakkan ketika urusan pengebumian dilakukan kerana mempunyai roda.

Beliau berkata, masjid kariah berkenaan merangkumi ahli kariah daripada tiga kampung termasuk Kampung Teluk dan Kampung Sekawang dengan jumlah penduduk Islam mencecah 5,000 orang.

“Saya berharap sumbangan lampu berkenaan dapat melancarkan tugas jawatankuasa masjid dan memudahkan kerja-kerja pengkebumian jenazah pada waktu malam,” katanya.

Sementara itu, Ustaz Mahadir mengalu-alukan bantuan dan sumbangan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri Linggi dalam menyelesaikan masalah dihadapi.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Penyelaras DUN yang berusaha mengambil inisiatif dalam membantu kami dan penduduk di sini, dalam urusan pengkebumian jenazah melalui sumbangan lampu limpah ini,” katanya.

metro

Leave a Reply