Belum cergas, Ronaldo digugurkan – Ragnick

 

Kecederaan yang dialami penyerang utama Manchester United, Cristiano Ronaldo tidaklah terlalu serius selepas diketepikan daripada skuad utama pada aksi pusi­ngan ketiga Piala FA menentang Aston Villa awal pagi semalam.

Sebagai rekod, selain Ro­naldo, tiga lagi pemain disisihkan seperti Jadon Sancho, ­Harry Maguire dan Phil Jones pada pertemuan yang menyaksikan The Red Devils mencatat kemenangan tipis 1-0.

Pengendali United, Ralf Rangnick mengakui, keputusan menggugurkan Ronaldo dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan penyerang antarabangsa Portugal itu yang dilihat bergelut pada sesi latihan sepanjang minggu lepas.

 



“Saya sudah berbincang dengan Ronaldo sebelum buat keputusan skuad utama yang akan diturunkan ketika bertemu Villa ini. Dia mengatakan belum cergas sepenuhnya daripada kecederaan pinggul yang dialami.

“Justeru, saya membuat keputusan untuk merehatkannya dan tidak mengambil sebarang risiko memandangkan kita akan mengharungi jadual cukup padat bulan ini. Saya tidak mahu kecederaannya berlarutan,” katanya.

Pada aksi yang berlangsung awal pagi semalam, Rangnick meletakkan Edinson Cavani di jentera serangan bersama Marcus Rashford, Mason Greenwood dan Bruno Fernandes.

United yang telah menjuarai trofi Piala FA sebanyak 13 kali sebelum ini dijadualkan bertemu dengan Middlesbrough pada aksi pusingan keempat yang dijadualkan berlangsung pada minggu depan.

– AGENSI

Leave a Reply