Isu bidang kuasa koroner berkaitan prosiding komital diputus 8 Feb

 

Mahkamah Rayuan di sini semalam menetapkan 8 Feb untuk memutuskan sama ada Mahkamah Koroner yang mendengar inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim mempunyai bidang kuasa untuk memberi kebenaran bagi memulakan prosiding komital terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

Tarikh itu ditetapkan oleh panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Suraya Othman, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Hashim Hamzah dalam prosiding yang dikendalikan melalui aplikasi Zoom.



“Kami memerlukan masa kerana terpaksa membuat lebih banyak penyelidikan mengenai perkara ini. Oleh itu, kami menetapkan 8 Feb untuk keputusan,” kata Suraya.

Terdahulu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili bapa Muhammad Adib iaitu Mohd Kassim Abdul Hamid, berkata Seksyen 99A Akta Mahkamah Rendah 1948 menyatakan bahawa koroner atau mana-mana mahkamah rendah mempunyai kuasa dan bidang kuasa lanjut untuk mengeluarkan perintah berkaitan kesalahan menghina mahkamah tanpa mengurangkan kuasa asal yang diperuntuk kepada mereka.

“Kami dengan rendah hati berhujah bahawa Mahkamah Rendah memiliki bidang kuasa untuk mengeluarkan perintah berkaitan kesalahan menghina mahkamah kerana kuasa dan bidang kuasa lanjut tidak hanya terhad kepada perbuatan itu yang dilakukan di hadapan mahkamah tetapi juga yang dilakukan bukan di hadapan mahkamah.

“Malah Mahkamah Agung pada 1985 telahpun mengakui bahawa prosiding inkues mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah berkaitan apa-apa kesalahan atau perbuatan menghina mahkamah… Perkara itu tidak pernah ditolak oleh mana-mana mahkamah atasan yang lebih tinggi setakat ini. Ia masih menjadi undang-undang dan oleh itu, merupakan bidang kuasa,” katanya.

Peguam Datuk S. Ambiga, yang mewakili Thomas, pula berkata Mahkamah Koroner telah terkhilaf apabila membenarkan permohonan bagi prosiding komital terhadap bekas Peguam Negara itu.



“Kes kita hari ini bukan perbuatan menghina yang dilakukan di hadapan mahkamah. Koroner terbabit telah membuat keputusan sendiri untuk memberi kebenaran bagi memulakan prosiding menghina mahkamah. Tindakan sedemikian iaitu memulakan prosiding komital hanya boleh dilakukan oleh mahkamah lebih tinggi,” katanya.

Sebelum ini, beliau berkata Koroner tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberi kebenaran bagi memulakan prosiding komital terhadap Thomas memandangkan Perkara 126 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 13 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 memperuntuk kuasa itu kepada Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Pada prosiding semalam, mahkamah mendengar rayuan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenai isu sama Mahkamah Koroner mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan prosiding komital.



Dua lagi rayuan yang dikemukakan Mohd Kassim termasuk terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengetepikan perintah Mahkamah Koroner yang memberi kebenaran kepadanya untuk memulakan prosiding komital terhadap Thomas.

Dalam permohonannya, Mohd Kassim, 68, mendakwa Thomas telah menghina mahkamah menerusi afidavit yang difailkan AGC pada 3 April 2019 berhubung punca kematian anaknya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25 pada 27 Nov 2018.

Beliau meninggal dunia pada 17 Dis 2018 selepas 21 hari menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).



Pada 27 Sept 2019, Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian Muhammad Adib adalah disebabkan oleh perbuatan jenayah oleh lebih dua individu.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button