Sogok polis, tukang rumah mengaku salah
Tukang rumah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan rasuah berjumlah RM1,290 pada Mei tahun lalu.
Tertuduh, Wong Chee Ming, 33, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa terhadapnya.
Hakim kemudiannya memberi tempoh kepada tertuduh bagi pelantikan peguam supaya dapat mengesahkan pengakuannya.
Mengikut pertuduhan, Chee Ming, secara rasuah memberi satu suapan iaitu wang tunai RM1,290 kepada anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 31 tahun.
Ia sebagai dorongan untuk tidak membuat sesuatu yang berhubungan dengan hal ehwal prinsipal iaitu melepaskannya daripada menjalani ujian saringan awal air kencing.
Kesalahan itu dilakukan di Balai Polis Air Bemban, Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai, jam 3.15 petang pada 17 Mei tahun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama.
Kesalahan itu boleh membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 14 Februari depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Yunus Mohamed manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
metro