Terus saman, tiada lagi amaran – JPJ N.Sembilan

 

Tiada lagi amaran, sebaliknya tindakan saman akan terus dikenakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan terhadap pembeli dan peniaga yang didapati menjalankan aktiviti menjaja di persimpangan jalan atau pun mana-mana jalan raya di negeri ini.

Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap perbuatan itu kerana ia boleh mengundang risiko kemalangan jalan raya.

Jelas beliau, beberapa program advokasi terhadap peniaga atau penjaja jalanan telah diadakan pihaknya sebelum ini bagi memberi peringatan.

“Program advokasi ini adalah amaran terakhir kita. Setakat ini tiada lagi laporan kemalangan melibatkan penjaja jalanan, namun kita terima rungutan orang awam yang mengatakan kehadiran penjaja ini mengganggu aliran trafik.

“Ia bukan saja berlaku di Seremban tapi juga di Port Dickson terutama di lokasi lampu isyarat yang banyak kenderaan,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Advokasi Penjaja Jalanan di Jalan Rasah di sini pada Selasa.

Menurutnya, merujuk kepada Kaedah 10A(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, tiada sesiapa pun boleh menjual atau menawarkan untuk menjual benda atau pun barang kepada mana-mana orang yang berada di dalam atau di atas kenderaan di persimpangan jalan atau mana-mana jalan raya.

Tambah beliau, bagi Kaedah 10A(2) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 pula menyatakan tiada sesiapa pun yang berada di dalam atau di atas kenderaan boleh membeli benda atau barang daripada mana-mana orang di persimpangan jalan atau mana-mana jalan raya.

“Bagi kesalahan tersebut, penjual atau penjaja dan pembeli boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan,” katanya.

Selain itu Hanif Yusabra berkata, terdapat 10 lokasi utama persimpangan lampu isyarat yang menjadi tumpuan penjaja jalanan menjalankan perniagaan mereka di sekitar daerah ini.

Sehubungan itu katanya, JPJ meminta penjaja jalanan merujuk kepada pihak berkuasa tempatan(PBT) untuk mendapatkan nasihat berhubung lokasi dan syarat lesen yang berkaitan bagi tujuan menjalankan perniagaan mengikut peraturan yang betul.

“Segala aspek perundangan perlu dipatuhi agar tidak menimbulkan kesulitan kepada orang ramai.
“JPJ memandang serius kesalahan yang melibatkan penjaja jalanan.

Beberapa siri advokasi yang dijalankan sebelum ini diharap dapat menjadi satu panduan dan peringatan,” ujarnya.

awani

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker