Arsenal ikat Liverpool dengan 10 pemain

 

Arsenal berjaya bertahan selama lebih sejam dengan 10 pemain apabila mengikat Liverpool 0-0 pada aksi separuh akhir pertama Piala Liga di Anfield, sebentar tadi.

The Gunners tampak bakal dihukum selepas kapten pasukan, Granit Xhaka dilayangkan kad merah pada minit ke-24 susulan kekerasan ke atas Diogo Jota.

Namun, The Reds jelas merindui kelibat Mohamed Salah dan Sadio Mane selepas bergelut untuk mencipta peluang sekalipun berkelebihan seorang pemain.

Sekalipun hilang dua pemain itu yang beraksi di Piala Negara-Negara Afrika, Jurgen Klopp tetap menurunkan barisan pemain terbaiknya.

Jota berpeluang membuka jaringan apabila menerima hantaran jauh Andy Robertson namun Xhaka melakukan terjahan keras ke atas pemain Portugal itu sekali gus dilayangkan kad merah.



Mikel Arteta terpaksa mengorbankan Eddie Nketiah apabila membawa masuk Rob Holding dan lima pertahanan pelawat berjaya bertahan dengan Liverpool lebih banyak mendominasi perlawanan.

Peluang terbaik Liverpool disia-siakan Takumi Minamino pada babak kedua sebelum Bukayo Saka nyaris meledak gol kemenangan buat Arsenal yang dinafikan Alisson Becker.

Arsenal nyaris dikecewakan selepas bertahan dengan baik apabila Aaron Ramsdale ditewaskan menerusi hantaran lintang namun Minamino gagal menyudahkan peluang yang terhidang.

Ini menyaksikan aksi separuh akhir kedua di Emirates minggu depan bakal menjadi lebih terbuka untuk kedua-dua pasukan mara ke final bertemu Chelsea. -AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button