Harga emas dijangka meningkat tahun ini

 

Emas pukal berpotensi melepasi paras AS$1,900 (RM7,963.13) seauns atau RM280.89 segram tahun ini disokong permintaan kukuh aset emas oleh bank pusat di seluruh dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Nubex Sdn Bhd, Mohd Faizal Mohd Nor, berkata sokongan kepada harga emas yang kukuh tahun ini juga dicetuskan perkembangan politik dan ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang kurang memberangsangkan.

 



Nilai logam berharga itu diniagakan pada sekitar AS$1,826 satu aun hari ini.

“Emas untuk tujuan pelaburan pula perlu melepasi paras rintangan AS$1,900 seauns terlebih dahulu untuk menarik semula minat pelabur,” katanya.

Mohd Faizal berkata, bagi pasaran Malaysia, harga emas banyak bergantung pada dua faktor utama iaitu harga emas dalam dolar AS yang didagangkan di pasaran komoditi seperti COMEX serta kadar pertukaran wang asing antara dolar AS dan ringgit.

“Ramai yang keliru apabila merujuk harga emas yang dinisbahkan dalam dolar AS. Mereka menjangkakan harga emas di pasaran tempatan turut berubah seiring perubahan harga emas dalam dolar; sedangkan realitinya tidak begitu.

“Kemungkinan harga emas turun dalam nilaian dolar, tetapi di pasaran tempatan harganya mungkin meningkat disebabkan kemerosotan ringgit yang lebih dominan berbanding penurunan harga emas dalam dolar,” katanya.

Beliau berpendapat, harga emas dalam dolar AS tahun ini akan banyak bergantung pada senario pasaran ekuiti utama dunia.

Katanya, jika kebimbangan terhadap COVID-19 masih belum reda, tumpuan pelabur mungkin akan beralih pada kelas aset lain seperti emas.

“Walaupun begitu, emas perlu menyelesaikan masalah utama yang dihadapinya ketika ini iaitu kekurangan minat pelabur. Hari ini, pelabur tidak terhad pada kelas aset ekuiti, hartanah dan komoditi sahaja.

“Kelas aset baru muncul seperti mata wang kripto yang telah mencecah modal pasaran bernilai bertrilion dolar AS. Kelas aset ini sentiasa bersaing antara satu sama lain. Di Nubex, kami dapat melihat trend ini berlaku sepanjang 2021, sekurang-kurangnya di pasaran Malaysia,” katanya.

Mohd Faizal berkata, beliau menjangkakan permintaan barang kemas di peringkat tempatan kekal kukuh berbanding permintaan untuk tujuan pelaburan.

Katanya, masyarakat Malaysia ketika ini dilihat lebih bijak membeli ketika harga rendah, berbanding sedekad yang lalu, selain kedai emas baru juga dilihat semakin inovatif dalam strategi pemasaran.

“Selari dengan kadar inflasi yang terus meningkat saban tahun, saya yakin barang kemas akan terus mendapat tempat di kalangan rakyat Malaysia.

“Selain dari tujuan perhiasan dan tradisi bangsa, ia juga menjadi satu instrumen penting yang mampu mengekalkan kuasa beli orang ramai dalam tempoh jangka waktu panjang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kim Trading Venture Sdn Bhd, Liew Kim Fung berkata, prospek harga emas pada suku pertama tahun ini dijangka kukuh disokong perayaan Tahun Baru Cina dan menjelang Aidilfitri.

Katanya, terdapat permintaan kukuh dalam emas fizikal dengan pembelian barang kemas yang berterusan akan memacu harga emas.

“Selepas itu, kita boleh melihat pembalikan dalam harga emas selepas Rizab Persekutuan (Fed) AS mengurangkan sepenuhnya pembelian dan pegangan bon yang mana akan menjadikan dolar AS lebih kukuh dan ia menurunkan harga emas.

“Unjuran akan mendatar sehingga pengumuman lanjut daripada minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC) dan perubahan kadar faedah.

“Paras sokongan emas adalah AS$1,720 (RM7,208.73) seauns atau RM254.28 segram, manakala paras rintangan adalah AS$1,920 (RM8,046.95) seauns atau RM283.84 segram tahun ini,” katanya.

Kim Fung berkata, pasaran memerhatikan perkembangan di Barat dan China serta dasar ekonomi selanjutnya yang akan diterima pakai di negara berkaitan.

“Perang dingin yang berterusan akan menyokong harga emas atau mencetuskan pembelian besar-besaran daripada bank pusat untuk melindung nilai terhadap mata wang masing-masing.

“Mesyuarat FOMC mengenai kenaikan kadar faedah akan menyebabkan pergerakan harga yang drastik.

“Berakhirnya varian COVID-19 yang membawa maut boleh menjejaskan pergerakan harga emas, selain kejatuhan saham juga boleh mencetuskan pembelian besar-besaran,” katanya.

Peniaga emas dan Pengarah Urusan Merchant Nine Sdn Bhd, Nik Mohd Haniff Nik Hamid pula berkata permintaan untuk barang kemas dijangka terus meningkat, memandangkan emas akan tetap menjadi aset pilihan dalam ketidaktentuan ekonomi dunia.

“Permintaan untuk tahun ini dijangka kekal tinggi. Saya melihat jualan di semua tempat pada Disember lalu susut sebelum meningkat semula bulan ini.

“Bagi golongan yang tidak terjejas mereka memilih emas sebagai aset lindung nilai daripada inflasi selain sebagai simpanan di masa hadapan,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker