Khai Bahar mengaku ada ‘crush’

 

Penyanyi Khai Bahar mendedahkan pernah meminati seseorang dalam diam dan hanya memukau individu terbabit melalui media sosial.

Tanpa mendedahkan siapa gerangan dimaksudkan, Khai atau nama sebenar, Muhammad Khairul Baharuddin, 27, bagaimanapun menjelaskan wanita idamannya itu sudah mendirikan rumah tangga,.

“Saya memang ada ‘crush’… Saya kerap lihat laman sosialnya untuk mengikuti perkembangan.

“Apa yang membuatkan saya tertarik adalah keperibadiannya. Tetapi dia sekarang sudah berkahwin,” katanya kepada BH Online.



Ditanya bila dirinya bakal menamatkan zaman solo, penyanyi yang cukup popular dengan lagu Bayang ini menjelaskan dia hanya bersedia sebaik usia mencecah 30 tahun.

“Tidak dinafikan, rasa sunyi. Namun, pada usia sekarang, saya masih belum bersedia mendirikan rumah tangga.

“Mungkin pada usia pertengahan 30-an adalah waktu paling sesuai untuk saya berkahwin. Ketika itu, kehidupan saya sudah stabil termasuk daripada segi perniagaan,” katanya pada majlis sidang media Konsert Nafas Cinta di sebuah hotel di sini, petang semalam.

Mengulas konsert yang bakal berlangsung di Petaling Jaya Performing Arts Centre, Petaling Jaya pada 12 Februari depan, Khai bersyukur tiket terjual beberapa jam selepas dilancarkan pada 31 Disember lalu.

“Alhamdulillah, saya tidak sangka tiket laris dengan pantas. Apa yang boleh dikatakan peminat yang membeli tiket memang luar biasa,” kata penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi aplikasi Smule ini.

Bagi tidak menghampakan peminat, penganjur konsert, Nova Music merancang menayangkan konsert itu secara virtual.

Konsert yang mendapat sokongan MyCreative Ventures, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) turut menampilkan Aina Abdul dan Adira sebagai penyanyi undangan.

Leave a Reply