Pengakuan berani mati Harry cetuskan kemarahan

Kabul: Pengakuan berani mati Putera Harry berhubung dakwaannya membunuh 25 pejuang Taliban mencetuskan kemarahan dan rusuhan di Afghanistan.

Kira-kira 20 fakulti dan pelajar mengadakan rusuhan di sebuah universiti tempatan di Helmand.

Seorang penunjuk perasaan berkata, mereka mengecam tindakan Harry yang bertentangan dengan semua norma kemanusiaan.

Seorang pensyarah di universiti itu, Sayed Ahmad Sayed mengecam Harry kerana terbabit dalam operasi ketenteraan United Kingdom (UK) di Afghanistan.



“Kekejaman dilakukan Putera Harry, rakan-rakannya atau sesiapa sahaja di Helmand atau di mana-mana sahaja di Afghanistan, adalah tidak boleh diterima, kejam.

“Perbuatan ini akan diingati sejarah,” katanya yang turut menyertai rusuhan itu.

Penunjuk perasaan lain membawa poster yang menunjukkan potret Harry dengan tanda pangkah berwarna merah di atasnya.

Dalam pada itu, Mullah Abdullah berkata, dia masih merasa keperitan kehilangan ahli keluarga dalam serangan udara di kawasan Nahr-e-Saraj, Helmand pada 2011.



“Kami kehilangan rumah, mata pencarian dan orang tersayang.

“Kami menggesa masyarakat antarabangsa supaya mengheret orang ini (Harry) ke muka pengadilan, malah kami juga akan menuntut pampasan atas kerugian dialami,” katanya ketika menziarahi kubur ahli keluarga yang terkorban dalam serangan itu.

Dalam buku ‘Spare’, Harry berkata, dia membunuh lebih daripada 20 orang pejuang Taliban semasa berkhidmat sebagai penembak helikopter Apache di Afghanistan, antara 2012 hingga 2013.

Harry menulis, dia tidak puas mahupun rasa malu tentang tindakannya dan menganggap pejuang musuh sebagai buah catur yang dikeluarkan dari papan catur.

Pengakuan Harry itu menimbulkan kemarahan pegawai Taliban dan kebimbangan daripada veteran British.

Pengarah media Gabenor Taliban di Helmand, Mawlavi Mohammad Qasim berkata, dakwaan Harry dalam buku itu mendedahkan wajah sebenar dunia Barat.

Tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dan Amerika Syarikat berundur pada Ogos 2021 dari negara itu, selepas 20 tahun berperang di sana.

Penarikan diri mereka membolehkan Taliban kembali berkuasa pada bulan itu.

AF

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker