Mayat mendiang Shebby dibawa ke Kuala Lumpur

 

Mayat mendiang Serbegeth Singh yang lebih dikenali sebagai Shebby dibawa ke Kuala Lumpur pagi ini untuk diuruskan di pusat pembakaran mayat di Jalan Loke Yew.

Van membawa mayat mendiang bertolak dari Nirvana Memorial Center di Taman Nesa Skudai, di sini, pada 7.20 pagi tadi, sebelum dijangka tiba di pusat pembakaran mayat berkenaan jam 11.30 pagi ini.

Anak lelaki Shebby, Sonuljit Singh, 32, berkata mayat bapanya akan diuruskan mengikut adat dan tradisi masyarakat Punjabi.

“Mayat mendiang bapa akan diuruskan secara ‘cremation’ (pembakaran).

“Ini kerana sudah lebih 40 tahun bapa menetap di sana (Kuala Lumpur), membina karier dan bermain bola sepak, jadi semua majlis akan diadakan di sana,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Shebby, 61, dilaporkan meninggal dunia ketika sedang melakukan aktiviti berbasikal di sekitar kawasan Sunway Iskandar, Iskandar Puteri, kira-kira jam 7.30 malam kelmarin.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi.

Shebby memulakan karier sebagai pemain bola sepak tanah air sebagai pemain pertahanan bagi pasukan Johor FA, sebelum berpindah ke pasukan bola sepak Kuala Lumpur pada 1983.

Mendiang juga pernah beraksi bagi pasukan Negeri Sembilan dan Pahang, sebelum menamatkan kerjayanya dengan Perak pada 1996.

Sejak bersara sebagai pemain kebangsaan, mendiang meneruskan khidmat sebagai jurulatih dan menjadi hos rancangan sukan di Asia.

BHOnline

Leave a Reply