Tiada keperluan bubar DUN Johor – Faizal Azumu

 

Tiada keperluan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu diadakan, buat masa ini.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagaimanapun menegaskan, jika pembubaran itu tetap berlaku, parti itu akan kekal mengambil bahagian seperti biasa.

 

 

“Jika DUN Johor dibubarkan tentunya ia satu perkara yang tidak begitu digemari orang ramai dan saya berpandangan mungkin tiada keperluan untuk perkara itu (PRN).

“Namun jika ia tetap berlaku kerana semuanya di luar kawalan kami (parti), maka kita terpaksa ambil bahagian bersamalah dalam PRN itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Sukarelawan Pasca Banjir Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di Kampung Sungai Berani, di sini, hari ini.



 



Dalam pada itu, mengulas soal pendirian kerjasama antara Bersatu dan Barisan Nasional (BN) menghadapi kemungkinan pilihan raya berkenaan, jelasnya, ia terlalu awal untuk diputuskan.

Sebaliknya, tegasnya yang juga Menteri Belia dan Sukan, fokus yang harus diberi keutamaan oleh semua pemimpin politik ketika ini adalah membantu rakyat berdepan musibah, termasuk pascabanjir.

“Di peringkat persekutuan kami semua bekerja dengan baik dan memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri yang datangnya daripada BN.

“Mungkin ada segelintir pemimpin yang fikir perlu ada perpecahan supaya menguntungkan mereka.

Namun, saya kira pada waktu ini semua ahli politik perlu faham kita kena kurangkan berpolitik.



“Rakyat sudah letih dan muak dengan pelbagai musibah. Tunggulah nanti keadaan dah reda barulah kita berpolitik,” tambahnya.

Sebelum ini, khabar angin mengenai seorang ADUN dari blok kerajaan bakal menjadi wakil rakyat Bebas bagi memberi laluan kepada PRN di negeri itu mula bertiup kencang.

Namun ADUN Puteri Wangsa Mazlan Bujang yang disebut-sebut bakal membuat gerakan itu menafikan dakwaan berkenaan.

DUN Johor mempunyai 56 kerusi dengan agihan, UMNO dan DAP masing-masing menyandang 14 kerusi, Bersatu (11), MIC (2), PAS (1), Amanah (6) dan PKR (7).

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang berikutan kematian ADUN Kempas baru-baru ini.

Disember lalu, Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan menilai dan memantau reaksi terkini DUN untuk melihat kedudukan kerajaan dan keberangkalian perlunya PRN diadakan.

Ia susulan kedudukan kerajaan negeri ketika ini yang kurang stabil dengan hanya kelebihan satu kerusi DUN.

Bagaimanapun, menurutnya, isu mengenai kelebihan satu kerusi sahaja tidak memadai untuk PRN diadakan memandangkan situasi politik di negeri ini berbeza berbanding di Sarawak atau Melaka.

Isnin lalu, beliau menegaskan, beliau tidak pernah membuat sebarang keputusan berhubung isu PRN.

awani

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker