Lelaki penggal kepala ibu dipengaruhi dadah
Lelaki yang memenggal kepala ibunya di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor, kelmarin melakukan perbuatan itu ketika dalam pengaruh dadah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, suspek berusia 28 tahun itu juga dipercayai bertindak kejam ketika mahu meminta wang dari ibunya untuk membeli dadah.
“Suspek ditahan reman tujuh hari bermula 16 hingga 22 Januari ini. Barang kes sudah dirampas dan punca kejadian adalah kerana suspek dipercayai dipengaruhi dadah.
“Kita percaya ketika kejadian itu, suspek hendak meminta duit daripada ibunya (untuk membeli dadah),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata, suspek juga mempunyai rekod lampau membabitkan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Semalam, media melaporkan seorang wanita berusia 56 tahun maut dipercayai dipenggal kepala oleh anaknya.
Suspek yang juga penganggur tinggal bersama ibu dan ayahnya di rumah itu, manakala adik beradiknya yang lain menyewa di kawasan berhampiran.
BHOnline