14 anggota sindiket pelacur warga asing ditahan

 

Kegiatan sindiket pelacur warga asing yang menawarkan khidmat seks antara RM200 sehingga RM270 bagi setiap sesi terbongkar selepas mereka ditahan dalam serbuan Operasi Gegar di dua hotel bajet di daerah ini, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata pihaknya menahan 14 individu terdiri daripada 12 wanita warga Thailand, seorang wanita Myanmar dan seorang lelaki Britain berusia antara 21 hingga 69 tahun dalam serbuan jam 8.45 malam tadi.

Katanya, ketika serbuan dijalankan, semua wanita warga asing terbabit tidak memberikan kerjasama dan enggan membuka pintu bilik.

“Malah, ada juga wanita warga asing yang cuba membuat provokasi dan memberikan pelbagai alasan untuk melepaskan diri.

“Kami turut menemui beberapa kondom dan gel pelincir dipercayai digunakan bagi kegiatan pelacuran dalam operasi itu.

“Selain itu, tiga lelaki tempatan yang juga pelanggan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, hasil risikan mendapati premis itu dikunjungi pelanggan yang terdiri daripada warga tempatan dan warga asing.

“Sindiket pelacuran ini menggunakan pakej perkhidmatan seks yang ditawarkan dengan harga antara RM200 sehingga RM270 bagi tempoh masa 45 minit dan RM950 bagi langganan ‘outcall’ bermula dari jam 10 malam sehingga 7 pagi.

“Pelanggan perlu memilih wanita dikehendaki dan membuat tempahan terlebih dahulu melalui laman sesawang dan aplikasi Telegram,” katanya.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti dilakukan adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

“Semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

BHOnline

Leave a Reply