Fatah balas kritikan Hamas dan kumpulan lain

 

Oleh Pena Merah

Fatah balas kritikan Hamas dan kumpulan lain
Anggota Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin membawa mangsa serangan Israel ke Hospital Al-Awda. – Foto REUTERS

Fatah pimpinan Presiden Palestin Mahmud Abbas membalas kritikan Hamas dan kumpulan lain berhubung pelantikan perdana menteri baharu yang didakwa boleh memburukkan lagi perpecahan di negara itu.

Fatah menyelar kenyataan Hamas dengan mendakwa gerakan Islam itu menyebabkan pendudukan semula Israel di Gaza dengan melakukan serangan pada 7 Oktober tahun lalu.



Tindakan itu membawa kepada “malapetaka lebih dahsyat dan kejam berbanding 1948”, merujuk kepada pemindahan dan pengusiran kira-kira 760,000 rakyat Palestin dari tanah mereka ketika penciptaan Israel.

“Kepemimpinan Hamas yang memutuskan hubungan dengan realiti dan rakyat Palestin,” kata Fatah, menuduh Hamas tidak “berunding” dengan pemimpin Palestin yang lain sebelum melancarkan serangan ke atas Israel.

Khamis lalu, Abbas melantik penasihat hal ehwal ekonomi, Mohammed Mustafa sebagai sebagai Perdana Menteri dan menugaskan beliau membentuk kerajaan baharu.

Bagaimanapun, beberapa kumpulan Palestin dalam satu kenyataan, semalam berkata, membuat keputusan secara individu, dan membentuk kerajaan baharu tanpa persetujuan nasional, adalah pengukuhan dasar pengecualian dan memperdalam perpecahan.



“Langkah sedemikian menunjukkan “jurang yang besar antara Pihak Berkuasa (Palestin) dan rakyat, kebimbangan serta aspirasi mereka,” katanya.

Turut menandatangani kenyataan itu adalah kumpulan Jihad Islam dan Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin dan Inisiatif Kebangsaan Palestin.

Mustafa menggantikan Mohammed Shtayyeh, yang meletak jawatan kira-kira tiga minggu lalu dengan alasan keperluan perubahan.

Mustafa menerima pelantikan itu dan menulis sepucuk surat kepada Abbas dan menyatakan bahawa dia menyedari betapa teruknya keadaan yang sedang dilalui oleh rakyat Palestin.



“Mustafa, 69, kini berdepan tugas membentuk kerajaan baharu bagi Pihak Berkuasa Palestin, yang mempunyai kuasa terhad di Tebing Barat yang diduduki Israel.

Kawalan wilayah Palestin dibahagikan antara Pihak Berkuasa Palestin Abbas di Tebing Barat dan Hamas di Semenanjung Gaza sejak 2007.

Penganalisis berkata hubungan akrab Mustafa dengan Abbas akan mengehadkan peluang reformasi besar-besaran Pihak Berkuasa Palestin.

Amerika Syarikat (AS) dan kuasa-kuasa lain menyeru supaya Pihak Berkuasa Palestin untuk mengambil alih semua wilayah Palestin selepas perang berakhir.



Bagaimanapun, kerajaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menolak rancangan pasca perang untuk kedaulatan Palestin. – AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button