Kontroversi jaringan perkhidmatan 5G

 

Ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat-syarikat penerbangan terbesar di Amerika Syarikat (AS) memberi amaran menjelang perkhidmatan 5G yang bermula hari ini bahawa teknologi itu sepatutnya dihadkan berhampiran lapangan-lapangan terbang supaya tidak be­risiko menyebabkan gangguan operasi terhadap perjalanan dan penerbangan.

“Kami menulis dengan tekad untuk meminta supaya 5G dilaksanakan di semua tempat di negara ini melainkan dalam lingkungan 3.3 kilometer dari landasan lapangan terbang seperti yang dinyatakan oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA),” kata CEO-CEO tersebut dalam surat yang diperoleh agensi berita AFP dan turut ditandatangani oleh gergasi penghantaran, FedEX serta UPS.

FAA menyatakan Ahad lepas bahawa pihaknya meluluskan sebilangan transponder untuk beroperasi di kawasan-kawasan perkhidmatan 5G melibatkan 48 daripada 88 lapangan terbang yang terkesan secara langsung oleh gangguan frekuensi 5G tersebut.

Lapangan-lapangan terbang di AS bimbang kerana sebahagian besar peralatan telekomunikasi 5G itu belum mendapat pengesahan termasuk transponder sekali gus berisiko mengakibatkan gangguan serius.

“Campur tangan segera diperlukan untuk mengelakkan gangguan operasi serius kepada penumpang penerbangan, penghantaran barangan, rangkaian bekalan dan bekalan perubatan yang diperlukan,” kata CEO-CEO berkenaan.

Sementara itu, pembekal per­khidmatan telekomunikasi Verizon dan AT&T yang memenangi kontrak mengendalikan per­khidmatan 5G bagi spektrum 3.7-3.8 gigahertz (GHz) telah dua kali menangguhkan pelancaran teknologi baharu tersebut susulan amaran daripada syarikat penerbangan dan pembuat pesawat.

Melainkan syarikat-syarikat telekomunikasi utama disekat oleh pihak berkuasa persekutuan AS atau mencapai persetujuan dengan syarikat-syarikat penerbangan, perkhidmatan 5G akan tetap beroperasi di seluruh negara hari ini.

– AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker