Messi kembali berlatih bersama PSG

 

Lionel Messi kembali mengikuti sesi latihan penuh Paris Saint-Germain buat pertama kali semalam sejak didapati positif COVID-19 akhir tahun lalu.

Penyerang Argentina itu dilihat memanaskan badan bersama rakan sepasukan PSG dalam klip video yang dimuat naik kelab ke laman sosial.

Messi dijangkiti virus berkenaan ketika bercuti di kampung halamannya di Rosario, Argentina ketika rehat musim sejuk Ligue 1.

PSG pada 5 Januari mengumumkan yang dia kembali ke Perancis selepas diuji negatif tetapi pemenang tujuh kali Ballon d’Or itu baru merasa cergas untuk meneruskan tugas seperti biasa.

Dia terlepas perlawanan Piala Perancis menentang Vannes dan dua perlawanan liga, seri 1-1 menentang Lyon dan kemenangan 2-0 ke atas Brest Sabtu lalu.


Perpindahan penuh emosi Messi dari Barcelona ke Paris tidak berlaku seperti diharapkan peminat, PSG dan dirinya sendiri. Dia kini hanya meledak satu gol dalam 11 penampilan liga untuk PSG, walaupun mengumpul lima gol dalam aksi Liga Juara-Juara.

Sehingga kini dia terlepas 10 perlawanan Ligue 1 sejak Ogos akibat kecederaan, tugasan bersama Argentina dan kemudian COVID-19.

“Ia mengambil masa lebih lama daripada jangkaan saya tetapi saya sudah hampir pulih sepenuhnya dan tidak sabar untuk kembali ke atas padang,” kata Messi yang dijangka beraksi menentang Reims Ahad ini.

– AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button