Bunyi pam tandas bising, jiran menang saman

 

 

Selepas hampir dua dekad, suami isteri di Itali memenangi kes tuntutan terhadap jirannya yang mengepam tandas dengan bunyi terlalu bising.

Portal Mirror melaporkan, mahkamah di Itali turut mengekalkan hak pasangan itu terhadap perlindungan daripada bunyi bising pada waktu malam.

Ia berikutan pengalaman pahit 19 tahun dialami pasangan berkenaan yang menetap di Gulf de Poets, La Spezia.

Pasangan itu mendapat ganti rugi 500 euro (RM2,374.52) setiap tahun, dengan nilai keseluruhan 9,500 euro (RM45,115.82), selepas 19 tahun memperjuangkan hak mereka.

Pengalaman pahit bermula pada 2003 apabila empat beradik yang juga jiran mereka membeli tandas baharu yang sistem pengepamnya dikatakan bising.

Tidak puas hati, suami isteri berkenaan membawa kes itu ke mahkamah di bandar berdekatan La Spezia.

Mereka memberitahu bagaimana bunyi sistem pengepam itu tidak boleh diterima, memandangkan katil mereka bersebelahan dengan dinding yang menghubungkan kedua-dua rumah.

Selain itu, pasangan itu mendakwa bilik tidur mereka terlalu kecil untuk membolehkan susun atur perabotnya diubah.

Namun, hakim menolak tuntutan mereka.

Pasangan itu kemudia memfailkan permohonan di mahkamah rayuan di Genoa.

Kes itu turut membabitkan pemeriksaan ke atas dua flat berkenaan.

Penyiasat kemudian mendapati sistem pengempam itu mengganggu kualiti hidup pasangan itu kerana ia sangat bising, namun empat beradik terbabit mencabar keputusan berkenaan di Mahkamah Agung di Rom.

Akhirnya, hakim di mahkamah lebih tinggi memberikan keputusan yang berpihak kepada pasangan itu dan berkata, bunyi bising itu melanggar hak mereka untuk tidur nyenyak.

Adik-beradik itu diperintahkan membuang tandas dan membayar pampasan RM45,115.82 kepada pasangan berkenaan.

Itali diketahui mempunyai sistem keadilan yang perlahan apabila kes mengambil masa bertahun-tahun dan kadangkala berdekad-dekad untuk diselesaikan mahkamah.

Agensi

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker